
Apakah yang dimaksudkan dengan fertigasi gantung?
Teknik fertigasi gantung adalah salah satu cara penanaman menggunakan beg semaian yang diikat dengan tali dan digantung pada sistem para (berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong).
Sistem para perlu dipasang dengan kukuh untuk menampung beg semaian yang diisi dengan media coco peat/ peat moss (sabut kelapa) serta paip untuk pengairan dan pembajaan.
Tanaman yang sesuai untuk teknik ini adalah jenis sayur-sayuran berbuah termasuk timun, terung, cili, peria, kacang panjang dan petola.
Projek yang diusahakan melalui teknik ini didapati lebih menguntungkan dan berdaya maju. Berbanding kaedah fertigasi biasa yang ditanam di atas tanah atau di dalam beg semaian.
Kelebihan Fertigasi Gantung
Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil.
Kerja merumpai menjadi lebih mudah kerana rumpai kurang tumbuh, boleh menggunakan mesin dengan mudah, tanaman lebih subur dan kurang penyakit.
Penggunaan racun dapat dikurangkan, semburan racun serangga dan kulat dapat dilakukan dengan cekap serta efisyen menggunakan jentera penyembur yang sesuai.
Hasil dapat dipungut dengan mudah dan cepat kerana kedudukan beg semaian yang lebih tinggi serta jangka hayat tanaman lebih lama.
Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa.
Hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional.
Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani di mana jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus.
Teknik ini sangat sesuai diaplikasikan di kawasan tanah yang bermasalah seperti keadaan geografi tanah yang rendah dan mudah dinaiki air serta tanah yang kurang subur termasuk tanah bris.
Petani yang mengusahakan tanaman di kawasan yang kerap berlaku banjir sangat digalakkan mencuba teknik ini memandangkan ia tidak menjejaskan keadaan fizikal mahu pun kualiti hasil malah dapat menjamin pengeluaran hasil yang berterusan.
Menerusi penggunaan mekanisasi ladang yang sesuai kos pengeluaran dapat dikurangkan dengan berkesan dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang fertigasi gantung, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian dengan melayari laman portal Jabatan Pertanian Malaysia di www.doa.gov.my atau Facebook rasmi Jabatan Pertanian Malaysia.
Seksyen Komunikasi Korporat
Bahagian Perancangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jabatan Pertanian