Penternakan Lintah, Potensi Keuntungan Berganda Setiap Bulan
Lintah merupakan cacing yang mempunyai penyedut di kedua hujungnya. Saiznya pula adalah diantara setengah inci sehingga ke sepuluh inci panjang. Haiwan ini mempunyai 34 segman pada badannya. 6 segmen hadapan bertindak sebagai penyedut dan digunakan untuk berhubung atau melekat dengan mangsa untuk menghisap darah. Gabungan lendir dan sedutan akan membenarkan lintah melekat pada mangsa dan dalam masa yang sama juga akan melepaskan ‘hirudin’ melalui air liur.
Lintah atau nama saintifiknya Hirudo Medicinali (Medicinal Leeches) dikenali sebagai sumber perubatan bermula sejak abad pertengahan lagi. Pada masa itu lintah kerap digunakan untuk mengatasi masalah-masalah pendarahan dalaman dan juga digunakan dalam pembedahan plastik. Para saintis dan penyelidik juga percaya bahawa enzim di dalam air liur lintah boleh menghentikan atau mencegah darah daripada menjadi beku dan membantu rawatan manusia.
Prospek produk berasaskan lintah
Minyak lintah merupakan produk terkenal yang dihasilkan menggunakan lintah sebagai bahan utamanya. Ianya dipasarkan secara domestik dan juga mendapat permintaan dari pasaran serantau. Usaha menternak lintah secara komersil untuk tujuan perubatan masih belum dieksploitasi sepenuhnya di negara ini, walaupun ianya dilihat berpotensi untuk menjana pendapatan baru. Sebagai contoh, krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan kulit dan membaiki parut.
Negara-negara Barat seperti Britain, Jerman dan Rusia menternak lintah untuk tujuan khusus, dan hasil penyelidikan mereka membuktikan lintah boleh digunakan dalam perubatan moden dan berjaya menghasilkan produk siap seperti pil berkaitan sakit jantung yang dipasarkan kepada umum. Mereka juga menggunakan lintah hidup untuk menghisap darah pesakit dan kemudiannya darah itu dikeluarkan untuk dianalisis mengenai penyakit yang mungkin dihidapi oleh pesakit itu. Bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara China, Thailand dan kini di Korea Selatan.
Khasiat kesihatan dalam lintah terdapat pada ‘hirudin’, iaitu sejenis protein yang berfungsi menghalang pembekuan darah, yang terdapat dalam air liur lintah. Di China terdapat dua syarikat iaitu Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd dan Nanning Kekang Biotech Co. Ltd yang menternak lintah H. manillensis secara berskala industri untuk menghasilkan hirudin. Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd telah memfailkan paten untuk sistem ternakan H. manillensis dan teknologi ekstrak hirudin. Kekang Biotech Sdn. Bhd. menyatakan mereka mempunyai fasiliti ternakan H. manillensis yang terbesar di dunia.
Ternakan lintah
Industri ternakan lintah adalah satu industri yang masih baru di negara kita. Jabatan Perikanan juga sedang merangka Pelan Pembangunan Ternakan Lintah. Pada masa ini Persatuan Usahawan Ternakan lintah Malaysia (PELINTAH) telah pun ditubuhkan pada awal tahun 2009. Persatuan ini telah dinaungi oleh Jabatan Perikanan yang sekaligus bertindak sebagai penasihat persatuan. Mereka yang berminat menceburi dalam penternakan lintah digalakkan untuk menjadi ahli persatuan ini kerana mereka akan dibantu dari segi maklumat dan juga peluang pasaran.
Lintah bukan sahaja mendapat pasaran yang baik di dalam negara malah turut diterima baik dari negara luar. Dengan harga pasaran yang boleh mencecah sehingga RM80 sehingga RM120 sekilogram (anggaran diantara 200 ke 250 ekor lintah), ianya pasti menjanjikan pulangan sampingan atau pendapatan tetap yang lumayan.
Penternakan lintah boleh dimulakan dengan cara pemeliharaan induk lintah. Induk lintah akan mengeluarkan telur setelah berusia 6 bulan dan keatas. Proses ini akan menghasilkan anak-anak lintah yang akan dipelihara antara 4 hingga 5 bulan, iaitu tempoh matang anak-anak lintah (lintah dara) tersebut sebelum boleh dipasarkan.
Harga bagi induk lintah adalah di sekitar RM80–RM100 sekilogram. Seekor induk lintah boleh menghasilkan sekitar 100 sehingga 300 ekor anak lintah, di mana anak-anak lintah yang telah matang (lintah dara) boleh dipasarkan sehingga RM1.70 ke RM2.00 seekor bergantung kepada harga semasa.
Terdapat cara lain untuk menternak lintah iaitu memelihara lintah dari benih atau anak lintah. Benih atau anak lintah boleh didapati dengan harga sekitar RM0.50 ke RM0.80 seekor, bergantung kepada harga semasa. Proses pemeliharaan serta jangkamasa pemasarannya tetap sama seperti pemeliharaan daripada induk lintah.
Penternakan lintah juga amat mudah dikendalikan dengan hanya memerlukan jagaan yang minimum sama ada di luar bangunan (kolam konkrit atau kolam tanah) atau dalam bangunan (tangki gelas serat, tangki akuarium atau tangki lain yang sesuai) yang didapati lebih mudah.
Lintah memerlukan makanan yang secukupnya untuk membiak dengan cepat. Makanannya adalah darah mamalia seperti darah daging lembu atau kambing. Lintah biasanya cepat membiak melalui sumber makanan ini. Selain daripada darah, bahan-bahan organisma dari sesetengah tumbuhan juga menjadi sumber pemakanan lintah. Belut dan ikan keli merupakan sumber pemakanan yang paling mudah disediakan untuk lintah membiak. Selain itu, terdapat juga makanan yang disediakan menggunakan bio-teknologi yang sesuai untuk pemakanan lintah.
Usahawan lintah
Melihat kepada prospek besar industri lintah, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Sulaiman Shah Ab. Rahman dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, mengambil langkah berani untuk menceburi industri tersebut walaupun ianya tidaklah sepopular kerjaya lain. Berbekalkan sedikit pengalaman dan pengetahuan, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80, 000 lalu menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management.
Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di Malaysia dan berpotensi untuk pergi lebih jauh. Kini, mereka mampu berbangga dengan memperoleh pendapatan bersih sekitar RM5, 000 hingga RM6, 000 sebulan. Syarikatnya juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluaran mereka ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.
Selain itu, mereka turut membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam kepada mereka yang berminat. Tambah Sulaiman lagi, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan – Usahawan.com
Keistimewaan lintah dalam dunia perubatan
SEPANJANG kerjayanya sebagai pakar bedah plastik dan rekonstruktif, di Columbia, Dr. Matthew Concannon tidak akan lupa salah satu sejarah yang tercipta enam tahun lalu.
Beliau telah berusaha untuk menyambung sebahagian telinga seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terputus akibat digigit oleh seekor anjing pelatih.
Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan di mana telinga seorang kanak-kanak disambungkan melalui pembedahan mikro.
Menurut Concannon, prosedur yang mengambil masa selama empat jam itu terlalu rumit. Selain saiz pembuluh darah yang terlalu halus, koyakan yang berlaku pada telinga menyebabkan kerja-kerja mencantum semula telinga tersebut semakin mencabar.
Sejurus selepas pembedahan selesai dilakukan, Concannon menggunakan lintah bagi membolehkan aliran darah terbentuk semula.
Dalam tempoh seminggu, lebih 50 ekor lintah telah digunakan. Hasil yang diperoleh begitu menakjubkan.
“Lintah yang digunakan berjaya menyedut sejumlah darah beku bagi membolehkan darah mengalir selepas pembedahan yang rumit.
“Jika darah-darah ini tidak disedut keluar, ia akan masuk semula dan keadaan ini lebih serius seolah-olah seperti tiada darah baru yang mengalir,” jelasnya.
Sukar dipercayai. Tetapi itulah sebahagian sumbangan dan jasa yang cukup besar lintah dalam dunia perubatan.
Spesies yang sinonim dengan `drakula’ ini telah banyak menyelamatkan anggota tubuh yang dipotong melalui pembedahan. Justeru, menyedari kepentingannya ini, Concannon `menternak’ lintah sebagai persediaan pada bila-bila masa ia diperlukan.
Pengarah Hospital Universiti dan Klinik dan pakar tangan dan pembedahan mikro itu menjelaskan, `lintah perubatan’ itu terlalu bernilai.
Menurut beliau, lintah dianggap aset paling penting kepada pakar-pakar bedah plastik dan rekonstruktif di negaranya.
“Lintah dapat membantu mengekalkan aliran darah kepada tisu-tisu yang dipindahkan dan bahagian-bahagian tubuh yang dilekatkan semula,” katanya.
Peranan lintah dalam dunia perubatan sebenarnya telah diamalkan sejak ratusan tahun yang lalu. Biasanya, ia digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dengan mekanisme menghisap darah.
Bagaimanapun, perkembangan ubat-ubatan moden menenggelamkan `kehebatan’ dan sumbangan lintah dalam dunia perubatan.
Pada abad ke-19, lintah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar perubatan dan tukang gunting rambut untuk proses pembekaman. Amalan berbekam ini, dipercayai sebagai penyembuh banyak jenis penyakit dari hujung rambut hingga ke hujung tapak kaki. Ini termasuklah sakit kepala hinggalah gout.
Namun, lama-kelamaan, amalan ini semakin dilupakan. Bagaimanapun, trend menggunakan lintah perubatan semakin mendapat tempat dalam tempoh empat dekad lalu.
Terbaru, saintis Jerman melaporkan, penggunaan lintah amat berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan kekejangan di kalangan pesakit yang menghadapi masalah radang sendi pada lutut (artritis).
Dalam perubatan moden, penggunaan lintah hanya terhad bagi merawat masalah darah beku selepas pembedahan.
Penemuan terbaru yang dilaporkan di Annals of Internal Medicine mendedahkan air liur lintah mengandungi sejenis bahan antiradang dan lain-lain bahan kimia.
Menurut Dr. Gustav J. Dobos dari Klinik Essen-Mitte, Jerman, bahan-bahan ini dipercayai dapat mengurangkan gejala-gejala artritis. Lintah-lintah tersebut diletakkan pada bahagian lutut yang sakit, dibiarkan selama 70 minit hinggalah lintah tersebut tertanggal daripada kulit.
Selepas tujuh hari pesakit menerima rawatan, kesannya cukup menakjubkan. Pesakit yang mendapat terapi lintah lebih baik berbanding rawatan konvensional terutama dari aspek kurang rasa sakit.
Dalam makmalnya, Concannon menyimpan antara dua hingga tiga dozen lintah sebagai persediaan.
“Apabila saya memerlukan seekor, saya memerlukannya pada masa itu juga dan tidak boleh menunggunya berjam-jam,” katanya.
Lintah-lintah ini dibiarkan berada dalam akuarium yang diisi dengan air suling. Mereka juga diberi makanan yang dibuat khas untuk mereka yang ditambah dalam tangki tersebut.
Lintah-lintah ini tidak dibenarkan menghisap darah manusia atau apa juga produk-produk darah sebelum digunakan bagi mengelakkan pencemaran kepada pesakit.
Menurut Concannon, tujuan utama penggunaan lintah ialah melancarkan aliran darah. Kelebihan teraputik yang diperoleh daripada lintah ini terbahagi kepada dua.
Pertama, jumlah darah yang dikeluarkan semasa proses menghisap dan setiap gigitan darah akan meleleh hingga satu jam selepas lintah-lintah tersebut jatuh dengan sendirinya.
Keadaan ini, secara tidak langsung membolehkan anggota tubuh yang digigit itu terus hidup.
Bagaimanapun, sebelum prosedur ini dilakukan, Concannon akan melakukan beberapa ujian kepada pesakit bagi memastikan mereka benar-benar mengalami kesesakan vena.
“Saya hanya menggunakan lintah sebagai alternatif terakhir apabila kesemua kaedah teknikal telah dilakukan tetapi pesakit masih mempunyai masalah,” ujarnya.
Apabila terapi ini dimulakan, ia akan diteruskan sehingga pembuluh darah baru terbentuk secukupnya di sekeliling tisu-tisu terbabit.
Begitu juga dengan jumlah lintah yang digunakan. Ia banyak bergantung kepada keadaan penyumbatan dan tempoh impaknya pada penyumbatan tersebut.
Prosedur ini sebetulnya tidak sedikit pun menyakitkan pesakit kerana fungsi sebahagian saraf pada anggota terbabit semakin menurun.
“Kedua, air liur lintah-lintah tersebut mengandungi sejenis kimia anestetik yang menyebabkan kita tidak rasa sakit dan agen antidarah beku.
“Ia dikenali sebagai hirudin – yang membantu darah mengalir dengan bebas,” jelas Concannon.
Dalam kebanyakan kes, katanya pesakit pada mulanya agak ragu-ragu tetapi masih boleh menerima apabila beliau mencadangkan untuk meletakkan parasit kurus ini pada luka mereka.
Daripada 24 kes sejak beliau mula menggunakan terapi lintah pada 1992, hanya seorang pesakit saja yang enggan.
“Setelah kami kehabisan pilihan pembedahan, saya akan tanya kepada pesakit sama ada mereka ingin mencuba kaedah ini.
“Kebanyakannya hairan bagaimana lintah ini bertindak untuk menyelamatkan sebahagian anggota tubuh mereka,” jelasnya.
Tergolong dalam spesies cacing, lintah `digeruni’ kerana keupayaannya menghisap darah dan fizikalnya yang lembik.
Lintah, tergolong dalam spesies cacing yang terdapat banyak di hutan hujan tropika. Spesies ini gemarkan tempat-tempat yang lembap seperti di sungai, danau dan laut.
Selain itu, ia juga mudah ditemui di tempat-tempat perkhemahan berhampiran air terjun atau sungai dan trek tempat mendaki yang lembap.
Secara anatominya, lintah mempunyai alat penyedut pada setiap penghujung badannya. Satu digunakan untuk makan, manakala satu lagi digunakan untuk bergantung ketika menghisap darah.
Menurut Concannon, apabila dia meletakkan lintah ini pada `hosnya’, mereka tidak akan membuang masa. Mereka menggunakan tiga rahang yang mengandungi 100 batang gigi setiap satu ke bahagian terbabit.
Hanya dalam tempoh setengah jam, mereka boleh menyedut darah dengan rakus sebanyak lima kali ganda daripada berat badan mereka.
Setelah puas menghisap darah, lintah akan terjatuh dengan sendiri dan meninggalkan tanda gigitannya yang cukup ketara pada kulit.
Hanya dengan sekali sedutan, lintah-lintah ini mampu bertahan selama 18 bulan tanpa makanan lain.
Apabila lintah-lintah telah digunakan, Concannon akan memberi mereka sedatif dalam alkohol untuk dimusnahkan dalam insinerator.
“Mereka perlu dibuang segera dan berhati-hati kerana badan mereka dipenuhi dengan bahan-bahan buangan perubatan,” katanya.
Bercerita tentang lintah, ada yang memegang kepada kepercayaan jika seseorang bermimpi bertemu lintah, bermakna dia akan digoda oleh perempuan atau sebaliknya. Jika dia bermimpi digigit lintah bersirat akan digoda oleh perempuan yang jahat.
Di kalangan masyarakat Melayu, telah diketahui minyak lintah khusus bagi kaum lelaki untuk menambahkan saiz zakar dan mereka yang bermasalah dalam hubungan seks. Khabarnya, minyak ini ditapa selama 40 hari 40 malam di dalam kelapa muda hijau mengikut resipi herba purba, kitab-kitab lama seperti kitab Arab (Rawd at-Tirr) dan khazanah seks Melayu dahulu kala.
Namun, sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui melainkan bagi mereka yang telah mencubanya – Utusan Online