Sekadar renungan dan peringatan bersama….
Para Malaikat menyeretnya melalui orang ramai, menuju ke arah api neraka yang menjulang2.
Dia menjerit sekuat hati dan tertanya2 jika ada mana2 orang yang mampu membantunya.
Dia menjerit lagi sambil menyebutkan semua kebaikan yang telah dia lakukan; bagaimana dia sering membantu ibu bapanya. Bagaimana dia tidak pernah tinggal puasanya, tidak pernah tinggal solatnya, selalu bersedekah dan rajin membaca al-Quran.
Dia terus menjerit lagi, namun tiada seorangpun tampil membantunya.
Para malaikat terus mengheret dia. Dan… mereka semakin hampir dengan kawah api neraka.
Dia menoleh ke belakang dan ini rayuannya yg terakhir. Dia teringat…
Tidak! Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Bagaimana bersih seseorang yang mandi di sungai lima kali sehari dari kotoran, begitu juga bersihnya orang yang melaksanakan solat lima kali seharian daripada dosa2 mereka”
Dia menjerit lagi sekuat tenaga:
“Solat saya? Solat saya? Doa saya?”
Kedua-dua malaikat tidak berhenti, dan terus mengheretnya ke tepi jurang neraka. Bahang api neraka yang membahang terasa menyambar mukanya.
Dia menoleh ke belakang sekali lagi, tetapi matanya telah kering dari sebarang harapan dan dia tidak mempunyai apa-apa lagi yang tinggal di dalam dirinya.
Salah satu malaikat menolak dia masuk ke kawah neraka Jahannam. Dia mendapati dirinya terawang di udara dan sedang jatuh ke dalam kawah api.
Dia mandapati dirinya terus melayang dan akhirnya jatuh ke dalam kawah api neraka yg menjulang tinggi selama 70 tahun.
Setelah 70 tahun sengsara dibakar api, tiba2 terasa tangannya diraih oleh satu lengan.
Dia ditarik kembali ke atas.
Apabila dia mengangkat kepalanya, dia melihat seorang lelaki yang sangat tua dengan janggut putih yang panjang memegang tangannya.
Lelaki itu kelihatannya sangat daif.
Sambil menyapu debu di tubuhnya dia bertanya lelaki tua itu:
“Siapakah anda?”
Orang tua itu menjawab: “Aku lah solat anda”
“Mengapa kamu begitu lewat bantu saya? Wahai solatku, saya telah terjunam ke dalam neraka selama 70 tahun! Kenapa setelah tubuh saya hangus dan hampir berkecai baru kamu datang selamatkan saya?? Kenapaaa…?.”
Orang tua itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya, dan berkata:
“Adakah awak lupa? Selama hidup di dunia dulu awak sentiasa laksanakan saya pada saat-saat akhir!!”
“Setiap kali Maghrib awak beri tumpuan pada drama tv dulu..
“Zuhur awak lewat. Awak utamakan kerja dari saya. Asar dan Subuh selalu di hujung waktu.
“Awak ingatkah itu semua??”
Jerkahan lelaki tua itu mengejutkannya dari tidur…
Dia terjaga dan mengangkat kepalanya dari tidur. Seluruh tubuhnya basah oleh peluh ketakutan…
Ketika itu juga dia mendengar laungan azan dikumandangkan menandakan masuknya waktu Solat Subuh.
Dia bangun dengan cepat dan
mengambil wudhu. Dia berjanji tidak akan melengahkan solat lagi. Dia sedar kesalahannya kini. Dia telah mendapat petunjuk yang maha benar.
Kongsikan kisah ini kepada keluarga dan kawan2 anda. Mungkin anda boleh membantu mereka agar tidak melengah2kan solat lagi….
(-Petikan dari ceramah Ustaz Faqih Razak di Masjid Tanjung Piandang)
BALASAN MENINGGALKAN ATAU MELAMBATKAN SOLAT.
Allah s.w.t. menjelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran (al-Ankabut: 45) dan dalam masa yang sama iblis terus menerus berusaha untuk menyesatkan manusia. Kerana itu maka tidak peliklah kenapa iblis dan syaitan itu berusaha untuk menyekat manusia daripada melakukan sembahyang.
Iblis dan syaitan berusaha menghalang manusia agar jangan melakukan sembahyang. Andainya seseorang itu terus juga sembahyang, makhluk itu akan mengganggu ketika seseorang itu sedang mengambil wuduk. Rasulullah s.a.w. memberi amaran tentang adanya satu kumpulan iblis yang dinamakan “al-Wilhan” yang berperanan untuk mengganggu seseorang itu berwuduk, menyebabkan timbulnya was-was, lalu wuduk itu diambil mengambil masa yang panjang, berulang kali tanpa yakin.
Ketika mendirikan sembahyang iblis akan menimbulkan was-was hati iaitu ketika berniat, membaca al-Fatihah, mengganggu pemikiran menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menumpukan konsentrasinya kepada ibadah yang dilakukan. Ketika itu timbul pelbagai lintasan, termasuk peristiwa yang dilihat di tengah jalan, di pejabat, rasa kecewa harga saham dan kelapa sawit yang menjunam dan lain-lain lagi termasuk gangguan yang timbul daripada gambar-gambar ataupun tenunan pada kain sejadah yang dijadikan alas tempat sembahyang.
Selain daripada tabiat manusia yang sukar hendak mendirikan ibadah sembahyang, iblis dan syaitan juga menipu manusia agar melengah-lengahkan sembahyangnya, yang mungkin berpunca daripada sifat malas semula jadi, didikan yang diberi atau suasana yang mempengaruhi. Seseorang itu mungkin melambat-lambatkan sembahyangnya kerana mesyuarat, terlalu asyik dengan kerja yang dilakukan, untuk menyudahkan tugas yang diberi dan sebagainya.
Untuk mengatasi masalah seperti ini seseorang itu perlu kembali kepada hukum asal, iaitu memahami hukum mereka yang melambat-lambatkan sembahyang seperti yang saudara kemukakan.
Dalam surah al-Maun: 4-5 dijelaskan, “Maka kecelakaanlah bagi mereka yang sembahyang, iaitu orang yang lalai dari sembahyangnya.”
Menurut Saad bin Abi Waqqas, seorang daripada 10 sahabat yang dijanjikan syurga, yang meninggal dunia pada tahun 55H, menyatakan yang dia telah bertanyakan Rasulullah tentang maksud “orang yang lalai sembahyang” tadi. Baginda menyatakan bahawa yang dimaksudkan itu ialah mereka yang melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.
Mereka ini tetap termasuk dalam golongan orang yang melakukan sembahyang, tetapi memandang enteng dengan melambat-lambatkannya. Bagi mereka adalah balasan neraka, yang dinamakan “wail”, yang sangat berat azabnya. Menurut satu pendapat neraka wail itu adalah satu lembah yang terdapat di neraka jahanam. Andainya bukit-bukit yang ada di dunia itu diletakkan dalamnya, nescaya hancur luluh semuanya kerana terlalu panas.
Dalam sebuah hadis riwayat daripada al-Bayhaqi dinyatakan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. ada memberitahu, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan yang paling dikasihi Allah dalam Islam. Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang agama.
Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang hamba itu sembahyang pada waktu awal, maka sembahyang itu naik ke langit dengan cahaya, sehinggalah tiba ke arasy, lalu sembahyang itu memohon keampunan kepada Allah untuk tuannya sehingga hari kiamat. Ia berkata: Semoga Allah memelihara akan dikau sebagaimana engkau memelihara akan daku. Dan apabila seorang hamba itu sembahyang bukan pada waktunya, sembahyang itu naik ke langit bersamanya kegelapan. Apabila tiba ke langit ia dilipat, seperti pakaian yang dilipat, lalu dipukul dengannya pada muka tuannya, ia berkata: Allah s.w.t. mempersia-siakan akan dikau, sebagaimana engkau mempersia-siakan akan daku.
Keterangan di atas menjelaskan betapa Allah memberi peringatan amaran terhadap mereka yang melengah-lengahkan sembahyang. Andainya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan menyedari betapa pedih dan sakitnya seksaan tersebut, dia akan sedar dan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.
Ketahuilah Bahawasanya Setiap Solat Yang Ditinggalkan Akan Ada Pembalasannya:-
Subuh – Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun* di akhirat. (*nota – 1 tahun diakhirat=1000 tahun didunia=60,000 tahun)
Zuhur – Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim.
Asar – Dosa sama seperti meruntuhkan Ka’abah
Maghrib – Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri.(Tergamakkah kita berzina dengan kedua orang tua kita).
Isyak – Allah SWT berseru kepada mereka :- “Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT.”
Dan diantaranya lagi ialah:-
Di Dunia
Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin (soleh) daripada (wajah) nya.
Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Sakaratul Maut
Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar. (su’ul khatimah)
Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Alam Barzakh
Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman) dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan. Kuburnya akan menjadi cukup gelap. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari) (Siksaan binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan)
Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – IslamItuindah