SETIAP wanita memiliki enam organ penting pembiakan iaitu pangkal rahim, ovari, rahim, faraj, vulva dan tiub fallopian.
Ia umpama mahkota kerana melengkapkan diri mereka sebagai wanita sempurna.
Namun, organ ini boleh bertukar menjadi ancaman kepada wanita sekiranya satu daripada organ pembiakan terbabit diserang virus barah.
Penderitaan berganda jika wanita menghidap pel
bagai penyakit barah sakit puan dalam satu masa.
Perunding Ginekologi dan Onkologi Regency Specialist Hospital, Dr Badrul Zaman Muda @ Abdullah berkata, kecenderungan wanita menghidap penyakit ini boleh dikategorikan luar biasa dan sangat jarang berlaku.
PELBAGAI penyakit barah sakit puan.
“Pelbagai penyakit barah sakit puan (Multiple Primary Tumor Neoplasm) dalam tempoh diagnosis yang sama pada organ dan jenis tisu histologi berlainan memerlukan kepakaran rawatan bersama pakar ginekologi serta onkologi.
“Contoh, pada peringkat awal pesakit didiagnosis menghidap penyakit barah endometrium (selaput dinding rahim) dan ovari serentak.
“Atau pesakit barah payudara yang dikesan menghidap barah usus kurang enam bulan daripada penyakit barah dihidapi,” katanya.
Berdasarkan laporan ‘European Society Medical of Oncology’ (ESMO) 2017 menunjukkan, peratusan risiko menghidap pelbagai penyakit barah dalam suatu masa adalah di antara 2.4 dan 17 peratus.
Kajian lain mendapati, barah utama paling kerap berlaku adalah pada leher dan kepala, payudara dan usus.
Kanser kedua paling kerap berlaku membabitkan paru-paru, usus dan organ pembiakan wanita.
PERBANDINGAN sel normal dan tidak normal.
Beliau berkata, penyakit ketumbuhan pelbagai ini boleh dikategorikan sebagai ‘synchronous’ atau ‘metachronous’.
Ia bergantung kepada tempoh masa tertentu penyakit itu berlaku dan dikesan mengikut definisi penyakit yang diguna pakai.
“Oleh kerana pelbagai penyakit barah sakit puan jarang berlaku, rawatannya juga mencabar. “
Ada kriteria tertentu untuk merawat penyakit ini yang pakar perubatan perlu terlebih dahulu menilai tahap paling tinggi setiap penyakit barah dihidapi pesakit,” katanya.
Dr Badrul Zaman berkata, keutamaan rawatan diberikan kepada penyakit barah tahap lebih tinggi, tetapi pada masa sama mampu merawat barah kedua dihidapi pesakit.
Beliau memberi contoh, seorang pesakit menghidap barah rahim tahap satu dan barah ovari tahap tiga serentak.
“Dalam kes ini, pakar perubatan akan memberikan rawatan pembedahan untuk mengeluarkan barah ovari dan barah rahim disusuli rawatan kemoterapi untuk rawatan tambahan barah ovari itu.
“Oleh itu, kedua-dua barah ini dapat dirawat dengan sebaik-baiknya.
“Sebenarnya rawatan diberikan kepada setiap pesakit barah berbeza mengikut tahap penyakit dialami pesakit dan status fizikal pesakit itu sendiri.
“Ada kalanya ada sel barah yang agresif dan boleh kembali menyerang dalam waktu singkat,” katanya.
Mengikut Persatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC), satu pertiga penyakit barah boleh dicegah, satu pertiga boleh dirawat, satu pertiga masih perlu dikaji dan dipelajari kaedah terbaik serta berkesan untuk mengawalnya.
Menurutnya, setiap individu berisiko terdedah kepada penyakit barah dan sewajarnya mengambil langkah kesihatan tertentu untuk mengurangkan risiko ini.
Katanya, bagi sel badan yang normal, ia mengandungi maklumat genetik dan arahan khusus (membesar secara berkala dan menjalankan tugas tertentu) seterusnya melalui fasa kematangan sebelum mati.
Proses kitaran sel ini adalah berulang.
“Barah terjadi sekiranya satu daripada 37 trilion sel yang ada dalam badan manusia membesar dan membiak secara tidak normal dan dalam keadaan tidak terkawal.
“Jika barah bermula di mana-mana bahagian organ pembiakan wanita, ia dipanggil sama ada barah pangkal rahim, ovari, rahim, faraj, vulva dan saluran fallopian.
“Sel ini kemudian membentuk ketumbuhan malignan dan menyerang bahagian badan berhampiran.
“Sel barah ini tidak akan mati kecuali jika diberikan rawatan kemoterapi, radioterapi atau pesakit meninggal dunia,” katanya.