Wanita Yang Dikenali Shima Ini Menderita Seumur Hidup Apabila Memilih Suami Introvert, Akibatnya Ini Yang Berlaku

ADA orang berkata, wanita yang paling malang dalam dunia ialah yang tersalah memilih suami.


Ini yang berlaku kepada seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Shima.

Dia terpaksa akur apabila usia perkahwinannya hanya bertahan selama empat tahun.

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan kepercayaan itu akhirnya musnah angkara orang ketiga.

Sudahlah bekas suami curang hingga berkali-kali, dia juga merupakan seorang kaki pukul dan tergamak menampar serta menendang Shima di hadapan ibu mertuanya sendiri.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Shima memberitahu, dia mengahwini Zakuan selepas menjalin perhubungan selama dua tahun.

“Zakuan merupakan rakan kepada sahabat saya dan pada mulanya saya tiada apa-apa perasaan pun terhadapnya.

“Begitu pun, Zakuan yang pada ketika itu baru putus cinta mula memberanikan diri untuk mengajak berkahwin dan tanpa banyak soal, saya menerima lamarannya dan kami berkahwin pada tahun 2015,” ujar Shima.

Jelas wanita berusia 35 tahun itu, usianya yang sudah agak lanjut juga menjadikan dia tidak teragak-agak menerima lamaran Zakuan kerana ingin menimang cahaya mata.

Zakuan merupakan seorang lelaki yang pendiam dan cukup gemar bermain permainan video.

Suami pendiam

“Biasanya, orang yang suka bermain permainan video ini dikatakan merupakan seorang yang introvert dan agak sukar bergaul dengan orang.

“Hal itu menyebabkan saya yakin memilih Zakuan sebagai suami kerana yakin dia tidak akan curang di belakang saya,” dedah Shima.

Namun, tekaannya benar-benar meleset kerana biarpun jarang keluar rumah dan pendiam, Zakuan tetap juga curang dan bertukar-tukar gambar lucah dengan berbelas-belas wanita lain di luar sana.

Segalanya dihidu Shima selepas melahirkan cahaya mata sulung mereka.

“Ketika itu, saya perasan suami semakin kerap ‘melayan’ permainan video online dan ia menjadikan saya semakin curiga.

“Dia juga sering mengelak dan memberikan alasan sibuk apabila disuruh membuat kerja rumah, menjadikan saya tertekan,” jelas Shima.

Sehinggalah pada satu hari, Shima ternampak suaminya sedang menonton video lucah yang dihantar oleh seorang wanita kepadanya.

Begitu pun, Zakuan menyembunyikan identiti pengirimnya dengan meletakkan nama lelaki pada nombor telefon wanita terbabit.

Ia menyebabkan Shima menjadi berang kerana tidak menyangka suaminya tergamak curang serta cukup ketagih menonton video dan imej pornografi.

“Saya tidak menyangka suami yang kononnya pendiam dan kaki game itu curang dan saling bertukar-tukar video lucah dengan seorang wanita.

“Lebih buruk lagi, itu bukan satu-satunya skandal yang dia ada kerana selain wanita itu, saya nampak banyak lagi video-video lucah yang dikirim wanita lain di telefon bimbit suami.

Selain video yang dikirim wanita-wanita terbabit, suami Shima juga tidak kurang kerap menghantar video aksi-aksi lucah kepada wanita-wanita tersebut menjadikan Shima semakin jijik dengan sikap suami.

“Dia sudah begitu jarang menyentuh saya, namun cukup galak berkongsi video-video memalukan bersama wanita lain,” kata Shima dengan nada kesal.

Zakuan juga kerap hilang daripada rumah dan tidur di rumah kekasih-kekasih gelapnya tanpa mengira pahala dan dosa.

Begitu pun, kemuncak pertengkaran Shima dan Zakuan ialah apabila wanita itu mahu suaminya berterus terang tentang sikapnya yang tidak habis-habis curang itu.

Berang

Jelas Shima, ketika itu mereka sedang berada di rumah keluarga Zakuan dan suaminya tiba-tiba naik berang apabila diajukan soalan tentang kecurangannya.

“Zakuan menganggap saya sengaja mahu memalukan dia di hadapan ibu bapanya.

“Sejujurnya, bukan itu niat saya, namun saya ternampak Zakuan melayan salah seorang kekasih gelapnya ketika kami sekeluarga sedang makan dan ia menjadikan saya berang.

“Zakuan tanpa belas kasihan terus naik angin dan menampar serta menendang saya di hadapan kedua-dua ibu bapanya,” ujar Shima sambil menangis.

Selepas insiden itu, Zakuan semakin gemar naik tangan terhadap Shima dan dia tergamak menengking serta menampar isterinya di hadapan orang ramai.

“Dia juga pernah menampar saya di hadapan ibu saya sendiri sehingga ibu menangis kerana terlalu kasihankan saya,” kata Shima.

Susulan insiden terbabit, Shima memohon cerai dan cukup lega apabila Zakuan menceraikannya.

Shima mengaku sepanjang perkahwinannya dengan Zakuan, dia tidak pernah bahagia kerana lelaki tersebut sibuk dengan permainan videonya serta tidak pernah mempedulikan perasaannya.

“Saya tidak kisah bergelar janda daripada bersuamikan lelaki yang salah itu lebih menyakitkan,” jelas Shima menutup bicara.

Selepas empat tahun, lelaki introvert yang dikahwini Shima menunjukkan perilaku sebenar.

Suaminya itu curang, ketagih menonton video lucah, seorang yang panas baran dan kaki pukul.