2 Ekor Anjing Ini Mengundang Ketawa Netizen Dalam Kejadian Bertukar Menjadi Hijau

LAMPHUN, Thailand – Dua ekor anjing bulldog yang nakal bertukar warna menjadi hijau selepas pewarna makanan tertumpah ketika kedua-dua haiwan itu menyelongkar dapur tuannya di sini pada 13 Julai lalu, lapor akhbar Daily Mail.


Satu rakaman video menunjukkan anjing dinamakan Dam-nam dan Sai-Au itu masih melompat-lompat gembira walaupun bulu dipenuhi serbuk pewarna di rumah tuannya, Yada Ornsomjit yang terlupa menutup pintu dapur.

“Saya terlupa menutup pintu dapur pada malam sebelumnya tetapi sungguh saya tidak percaya kedua-dua anjing ini masuk dan ‘menghijaukan’ keseluruhan dapur,” katanya.

“Saya dan suami menghabiskan setengah hari untuk membersihkan bulu Dam-nam dan Sai-Au sebanyak tiga kali tetapi sebahagian badan anjing-anjing itu masih hijau. Kami sangat letih tetapi kedua-duanya seperti tidak faham kesalahan yang sudah dilakukan,” tambahnya.

Lantai dapur Ornsomjit turut dipenuhi serbuk hijau tersebut, malah disebar ke seluruh rumah kerana melekat pada kaki anjingnya sehingga dia terpaksa mengambil masa agak lama untuk membersihkan semuanya.

Perubahan warna itu juga menyebabkan kedua-dua anjing bulldog tersebut kini kelihatan seperti watak adiwira Marvel, The Incredible Hulk. – Agensi