Wanita Jadi Popular Gara-Gara Videonya Bercakap Jawi Bersama Ibu Jadi Viral “Ada Juga Meminta Saya Mengadakan Kelas.”

Kuala Lumpur: Kebolehan Nor Anis Farhani Zulkanain menyebut ejaan satu demi satu abjad jawi dengan lancar ketika berbual dengan ahli keluarga menarik perhatian.

Anak bongsu daripada lima beradik itu mendapat perhatian selepas memuat naik video berbual dengan ibunya, Narita Ismail, 58, di aplikasi TikTok, Jumaat lalu, menggunakan ejaan abjad jawi.

Nor Anis, 21, yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia menyedari kebolehannya mengeja dengan lancar menggunakan abjad jawi sejak di sekolah rendah.

Katanya, kemahiran itu dipelajari sendiri selepas mengenali dan mahir membaca tulisan jawi.

“Mulanya, ibu dan kakak, Nor Izyan, 32, yang fasih mengeja jawi, jadi kebolehan mereka yang mendorong saya untuk mencuba.

“Saya biasakan diri bertutur dengan keluarga sambil menyebut ejaan dalam jawi dan lama-kelamaan jadi lancar.

“Malah bukan hanya saya, ibu dan kakak tetapi adik-beradik lain juga boleh bertutur lancar dan sering berkomunikasi dengan cara itu dalam perbualan harian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Anis mengakui ada rakan yang hairan melihatnya bertutur sambil menyebut ejaan abjad jawi.

“Saya pernah menghubungi ibu di hadapan rakan dan mereka tidak dapat memahami apa yang kami bualkan.

“Ia mungkin kerana saya bercakap laju jadi perkataan disebutkan kurang jelas kedengaran hingga segelintir beranggapan saya bertutur dalam bahasa Jawa dan lain-lain lagi,” katanya.

Mengulas mengenai videonya yang tular, Nor Anis bersyukur kerana perkongsiannya mendapat maklum balas positif daripada rata-rata warganet.

“Alhamdulillah, ramai yang memberi kata-kata positif selepas menonton video itu namun ada juga menyarankan saya belajar bertutur bahasa Arab kerana bagi mereka, lebih baik daripada memberi tumpuan kepada jawi saja.

Artikel Berkaitan   Pernah Duduk Berdua Seketika, Ustaz Don Dedah Nasihat Dr Haron Din Khas Untuk Dirinya, Sampai Sekarang Beliau Tidak Lupa

“Selain itu, ada juga yang menyatakan hasrat untuk belajar dan meminta saya mengadakan kelas.

“Namun, saya belum ada perancangan ke arah buat masa ini,” katanya.

kredit harian metro