“Ketinggian Yang Luar Biasa Menyebabkan Saya Sukar Mencari Wanita Yang Sesuai”

Gua Musang: “Ketinggian yang luar biasa menyebabkan saya sukar mencari wanita yang sesuai,” kata Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 26.

Dia adalah lelaki tertinggi negara ini yang lebih dikenali ‘Budak Panjang’ tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3 dekat di sini, lebih suka hidup sendirian.

Menurutnya, dengan ketinggiannya mencecah 2.2 meter membuatkan dia mempunyai banyak masalah termasuk mencari saiz pakaian dan perlu buat tempahan.

Katanya, begitu juga bagi selipar atau kasut kerana menggunakan saiz 19 dan sukar diperolehi di mana-mana kedai sekali gus perlu membuat tempahan juga.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah merasai terbeban dengan takdir Tuhan yang melahirkan dirinya lebih tinggi luar biasa berbanding orang lain.

“Saya bersyukur kerana diberi kelebihan itu dan selalu menarik tumpuan orang ramai kerana jarang orang tinggi seperti saya di negara ini,” katanya hari ini.

Menurut Mohd Azli Hisyam, dia juga mengakui bukan mudah untuk mencari teman wanita walaupun ramai mengenalinya.

Katanya, hasratnya untuk berumahtangga memang ada tetapi perlu fikirkan juga mengenai tahap kesihatan dirinya dan sentiasa memerlukan bantuan ibu bapanya.

“Kadang-kala tubuh mudah berasa lemah dan tidak boleh berdiri lama hingga terpaksa lebih banyak berehat di rumah.

“Saya sudah membuat pembedahan di kepala sebelum ini bagi membuang tumor yang boleh menyebabkan saya lebih tinggi lagi jika tidak dibuang,” katanya.

Bapanya, Abdul Ghani Omar, 74, pula berkata, dia memang tidak membenarkan anaknya itu bekerja jauh daripada rumah.

Katanya, dia bimbang dengan kesihatan Mohd Azli Hisyam yang belum sihat sepenuhnya selepas pembedahan itu dan cepat penat.

“Memang banyak juga tawaran kerja termasuk berlakon tetapi kita tak benar pergi jauh dan di rumah ini pun boleh cari rezeki termasuk berniaga,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Sembahyang Asar Berapa Rakaat? Ko Cakap?” Disoal Ahli Kariah, Lelaki Berpakaian Tahfiz Ini Menangis Gagal Jawab

kredit harian metro