“Walaupun Dia Bukan Keluar Daripada Rahim Saya, Saya Menyayangi Afina Seperti Anak Sendiri,”

Kuala Lumpur: “Walaupun dia bukan keluar daripada rahim saya, saya menyayangi Afina seperti anak sendiri,” kata Nurul Aini Zainudin.

Nurul Aina, 35, adalah ibu angkat kepada Nur Afina Alisa, 7, yang dijaganya sejak berusia dua minggu.

Katanya, dia sudah enam tahun menumpang kasih menjaga anak kepada saudara sekampungnya di Masjid Tanah, Melaka sebelum memulangkan Nur Afina Alisa ke pangkuan keluarga kandungnya semula, Januari lalu.

Dia yang juga jurufoto majlis perkahwinan berkongsi kisah pertemuan semula dia dan anak angkatnya itu di aplikasi Tik Tok sehingga meruntun jiwa warganet yang menontonnya.

“Saya tidak kuat, setiap hari menangis selepas berpisah dengan Afina, tetapi saya reda kerana ini jalan terbaik untuk kebaikan semua.

“Saya tidak mahu memisahkan hubungan dia dengan ibu kandungnya. Cukuplah enam tahun keluarganya memberi peluang kepada saya menjaga dan membesarkannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Aini berkata, niatnya hanya mahu membantu menjaga Nur Afina Alisa memandangkan dia belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah 10 tahun berkahwin.

Menurutnya, ketika itu dia sudah berkahwin selama empat tahun dan belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.

“Nasihat orang tua jika mahukan zuriat, ambil anak angkat dan kerana itu saya mahu menjaga dan membesarkannya.

“Malah, sejak kecil lagi saya tidak pernah pisahkan mereka sehingga setiap kali hujung minggu saya akan membawa Afina berjumpa ibu kandungnya,” katanya yang menetap di Bangi, Selangor.

Pengasas perkhidmatan fotografi, Photo Culture 2009 itu berkata, dia tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai kisah awal penjagaan anak angkatnya itu untuk menjaga nama baik kedua-dua belah pihak.

Katanya, selepas berbincang dia bersetuju memulangkan semula anak angkatnya itu kepada keluarga kandungnya.

Artikel Berkaitan   “Kami Tawarkan Skuter Pada Sesiapa Yang Menangkap Individu Yang Menetak Mulut Anjing Sampai Terputus”

“Ketika saya menjadikan dia anak angkat, saya tidak buat surat hitam putih dan akan jadi masalah kepada suami apabila Afina meningkat dewasa.

“Jalan terbaik adalah pulangkan Afina sekarang, sekurang-kurangnya rasa sedih terpisah dengan dia lebih senang pudar,” katanya yang masih menjaga kebajikan anak angkatnya itu sehingga kini.

Mengulas mengenai perkongsiannya yang tular di media sosial itu, Nurul Aini berkata, dia tidak menyangka video itu mendapat perhatian ramai warganet sehingga ditonton lebih 50,000 kali.

Menurutnya, dia hanya mahu berkongsi memandangkan tidak ramai rakan serta keluarga mengikutinya di aplikasi Tik Tok.

Katanya, perkongsian itu sebagai luahan rindu kepada anak angkatnya dan tidak sangka ia tular.

kredit harian metro