“Saya Bermimpi Mereka Datang Kepada Saya, Senyum, Peluk Saya Dan Akhirnya Melambai Kepada Saya Sebelum Tersedar”

Melaka: “Saya bermimpi bertemu ketiga-tiga cucu saya, mereka datang kepada saya, senyum, peluk saya dan akhirnya melambai kepada saya sebelum tersedar,” kata Mohamad Ahad, 67, datuk kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekrasi Gunung Lang, dekat Ipoh, Perak, semalam.


Mohamad berkata, mimpi itu adalah paling menyedihkan baginya selepas cucu kesayangan, Allahyarham Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, pergi mengadap Ilahi ketika mereka sekeluarga belum puas bermanja bersama.

“Saya sangat terasa kehilangan mereka sampai terbawa-bawa dalam tidur, lebih-lebih lagi Muhammad Lufti Hakim yang tinggal bersama saya selama kira-kira dua bulan sebelum diambil semula oleh ibunya, Selasa lalu untuk pulang ke Pulau Pinang.

“Cucu kedua saya itu rapat dengan saya dan sudah pasti keriuhan dan kepetahan dan percakapannya ketika tinggal bersama saya akan jadi kenangan buat saya selamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam di sini, hari ini.

Dia bagaimanapun bersyukur kepada Allah yang ‘meminjamkan’ tiga cucu yang baik, manja dan comel kepada mereka sekeluarga.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, suasana ketika minum pagi bersama Allahyarham Muhammad Lufti, Selasa lalu masih menggamit kenangan.

Menurutnya, ketika sedang bersarapan, cucunya itu datang menyapa dan bertanyakan menu makanan lalu menyuarakan keinginan makan bersama.

“Apabila saya menyuruhnya meminta dengan nenek, dia terus berkata mahu minum bersama saya kerana hendak jalan jauh. Dia kata `saya mahu minum dengan atok, saya nak jalan jauh…jalan jauh tok’,” katanya yang beberapa kali menitiskan air mata tidak dapat menahan sebak.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, kereta dipandu ibunya tiga beradik itu, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabit kemalangan apabila terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Kemalangan tragis itu mengakibatkan tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi, Muhammad Lutfi Hakim dan Muhammad Affan Hafiy maut di tempat kejadian.

kredit harian metro