Suami Bekukan Mayat Isteri Selama 50 Tahun Gara-Gara Terlalu Sayang

Beijing: Akibat terlalu sayang, seorang lelaki di China bertindak membekukan mayat isterinya yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru untuk jangka masa 50 tahun.

Sebelum kematian isterinya itu, Gui Junmin terfikir mengenai tangki kriogenik, sebuah teknologi pembekuan menggunakan suhu yang terlampau rendah untuk membekukan isterinya, Zhan Wenlian.

Selepas membuat penyelidikan dan berbincang dengan pakar, Gui kemudian meminta kebenaran Zhan yang ketika itu sudah terlantar akibat penyakit berkenaan.

Ketika itu, sel kanser itu sudah merebak ke otak isterinya.

Gui berkata, Zhan pada masa itu sudah tidak mampu melahirkan ekspresi mahupun menggerakkan otot wajahnya.

“Saya memintanya memegang tangan saya jika bersetuju dengan teknologi itu. Dia bersetuju apabila memegang tangan saya,” katanya kepada media tempatan.

Jantung Zhan berhenti berdegup pada 8 Mei 2017.

Pasukan khas di Institut Penyelidikan Sains Hayat Yinfeng kemudian menjalankan prosedur 55 jam untuk pembekuan mayat wanita itu.

Jasad Zhan diletakkan dalam tangki kriogenik untuk dibekukan selama 50 tahun.

Tangki kriogenik itu diisi 2,000 liter cecair nitrogen dan disimpan pada suhu -196 darjah celcius.

Gui sempat melihat wajah isterinya buat kali terakhir yang disifatkannya seperti sedang tidur.

Bagaimanapun, jasad wanita itu bukanlah satu-satunya individu yang pernah menjalani prosedur itu.

Sehingga kini, 10 jasad membabitkan individu berusia yang antara 13 hingga 72 tahun dibekukan menerusi proses sama di institut berkenaan.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Perdana Menteri I$R4el, Benjamin Netanyahu, Dilaporkan Sah Positif Covld-19, Ini Keadaan Terkininya