Selepas empat tahun membawa status ibu tunggal, penyanyi Datuk Nora Ariffin kembali bergelar isteri apabila bernikah dengan seorang pensyarah kanan Dr Rushdi Ramli yang juga sahabat baik arwah suaminya, Johan Nawawi baru-baru ini.
Menerusi satu posting di laman Instagram, pemilik nama Wan Norafizah Wan Ariffin itu memohon maaf selepas tidak menghebahkan berita gembira itu lebih awal kerana mengutamakan perkara wajib sahaja.
“Saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bahawa saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak dari kecil lagi.
Beliau adalah saudara Rushdi Ramli.
“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib & mengikut hukum sahaja.
Foto kredit: BH Online
“Saya berpegang pada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ianya terlalu peribadi untuk saya kongsikan, bukan ingin bermegah- megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.
“Jodoh, rezeki & ajal adalah rahsia Allah yang telah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh
sabar, redha & syukur. Hanya kebaikan yg saya harapkan,” tulisnya.
Malah, penyanyi berusia 48 tahun itu turut memohon orang ramai mendoakan kebaikan buat beliau dan keluarga selain berterima kasih kepada anak-anak dan menantunya serta semua pihak yang memberikan sokongan selama ini.
“Saya juga memohon agar semua insan yg mengenali saya dan para peminat, sudi menitipkan doa buat saya mendapat keluarga sakinah mawaddah warahmah, dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredhai Allah SWT dunia akhirat. In Shaa Allah.
“Jutaan terima kasih buat anak-anak & menantu mama yg amat disayangi, adik beradik tersayang, seluruh saudara mara, sahabat handai, JNSB team, FANORATIK, rakan- rakan media…
“…semua yang telah banyak memberikan doa, semangat, sokongan & nasihat pada saya selama ini.
Allah saja yang mampu membalas segala jasa baik kalian semua,” kongsinya.
Terdahulu, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat orang anak.
Bagaimanapun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. Pada 2019, kehidupan Nora sekali lagi diuji dengan pemergian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff secara tiba-tiba.
Sumber: Instagram Nora Ariffin