Model dan pelakon sensasi Alicia Amin menjelaskan, dia tiada sebarang masalah bagi menjayakan watak ‘daring’ dalam sesebuah karya sekiranya ia mengandungi mesej tertentu untuk disampaikan kepada penonton.
Menurut laporan Kosmo! Online, pemilik nama Raja Alicia Raja Amin itu mengakui ada kalanya perkara tersebut agak terbatas berikutan budaya industri lakonan tanah air yang bersifat tidak terbuka.
“Masa pengambaran nak ‘shoot’ seksi itu dan ini, tapi realitinya, saya macam ‘alamak, saya sendiri pakai lagi seksi keluar dengan suami’.
“Kalian sendiri tahu, Ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF) bila nak keluar, ‘baju ini pendek sangat, bahagian ini tak boleh nampak’.
“Membina kerjaya di Malaysia, saya tak bimbang sangat pasal sama ada kita boleh atau tak boleh (beraksi seksi). Kadang-kadang, orang kita ‘ambitious’ dan saya sukakannya.
“Kalau tanya saya sama ada saya bersifat terbuka membawakan watak atau beraksi seksi demi projek lakonan, saya tiada masalah kalau itu untuk tujuan menyampaikan mesej secara lebih berkesan kepada penonton,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, pelakon berusia 26 tahun itu turut mengambil contoh drama bersiri Euphoria apabila pelakonnya Zendaya menonjolkan seni berdasarkan budaya kerja.
“Lakonan dia mungkin ‘mengganggu’ tetapi barangkali itulah kunci jalan cerita. Ia dijayakan demi untuk menyampaikan mesej kepada penonton.
“Macam dunia peragaan juga. Apa baju yang kita peragakan bukan mencerminkan diri kita yang sebenar. Kita peragakan mewakili jenama dan pereka fesyen,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Keluarga Baha Don musim ketiga itu, mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton mungkin tidak berjaya jika tiada paparan aksi berani atau seksi.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Haikal Isa) , Instagram Alicia Amin