Aksi ‘Lagak Marshal’, Dua Lelaki Termasuk Seorang Bergelar Datuk Serah Diri

Dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk yang dipercayai terbabit dalam aksi  ‘Lagak Marshal’ menerusi sebuah video tular di media sosial pada Ahad lalu sudah hadir ke Balai Trafik Port Dickson, semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka yang masing-masing berusia 45 dan 49 tahun hadir bagi memberikan keterangan.

“Kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular di media sosial.
“Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi berkata, pihaknya turut menahan dua motosikal berkuasa tinggi serta beberapa barangan berdasarkan video yang dirakam selain melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat kesalahan lain.

Terdahulu, video berdurasi hampir tiga minit itu memaparkan aksi marshal memberi arahan kepada seorang pemandu agar memperlahankan kereta bagi memberi laluan kepada sekumpulan motosikal berkuasa tinggi.

Sumber: Harian Metro (Mohd Khidir Zakaria) , Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson & Careta

Artikel Berkaitan   Haqiem Rusli Tak Setuju Isteri Jadi Penyanyi -“Biar Saya Saja Bergelar Anak Seni”