Program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan kumpulan Tiro sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.
Menerusi persembahan bertemakan bebas dan muzikal, kumpulan terdiri daripada Daniel Zaini, Sharif dan Syaiful Zero itu berjaya mendapat 10 HA dengan daripada para juri.
Bangga dengan kejayaan tersebut, Syaiful atau nama penuhnya Mohd Syaiful Doli Sharif meluahkan rasa syukur apabila perjuangan selama 10 minggu berakhir dengan kemenangan.
“Alhamdulillah. Pertama kali syukur ke hadrat Ilahi atas kemenangan yang diberikan kepada kami. Segala usaha dan penat lelah selama 10 minggu terbalas atas kemenangan ini,” tulisnya.
Selain itu, pelawak berusia 33 tahun itu juga memasang niat bagi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah serta menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan selama ini.
“Insyaallah niat dan azam untuk menunaikan umrah tercapai. Akhir sekali, terima kasih kepada keluarga yang menyokong dan mendorong semangat kami untuk berjuang sampai titisan keringat yg terakhir.
“Kepada penyokong dan pengundi di luar sana, hanya Allah dapat balas jasa kalian,” katanya.
Program realiti itu dikendalikan Datuk AC Mizal selain juri tetap yang terdiri daripada Datuk Rosyam Nor Diana Danielle, Noh Hujan dan Uqasha Senrose.
Malah, MLM 2021 musim ini menampilkan sedikit kelainan dengan mewujudkan ‘Sang Bara’ iaitu pelakon Sharnaaz Ahmad yang menjurikan peserta secara misteri sebelum didedahkan identitinya malam tadi.
Sumber: Instagram Syaiful & Astro Gempak