Jalan Kaki Ke Pusat Pemindahan, Suami Isteri Menangis Cerita Keadaan Rumah

Situasi banjir yang melanda sesetengah kawasan di Selangor khususnya dilihat sangat membimbangkan. Ramai yang telah menjadi mangsa apabila harta benda serta kenderaan tidak dapat diselamatkan setelah rumah ditenggelami air.


Ada yang terpaksa bergerak sendiri ke pusat pemindahan kerana bantuan tidak sampai ke mereka dan bekalan untuk makan serta minum sudah tiada.

Menangis cerita keadaan rumah

Hal ini samalah seperti perkongsian seorang wartawan apabila memuat naik satu video pasangan suami isteri yang ditemui di tepi jalan dalam keadaan memegang beg, selimut dan juga bantal. Mereka dilihat berjalan menuju ke pusat pemindahan untuk mencari perlindungan.

Prihatin dengan nasib mereka, Raudhatul Jannah yang kebetulan melalui kawasan tersebut setelah selesai mengedar bantuan telah menumpangkan mereka ke pusat pemindahan banjir.

Dalam perjalanan, pasangan suami isteri itu kelihatan lesu dan menangis menceritakan kondisi rumah mereka yang digenangi air. Isi rumah habis tenggelam termasuklah kereta dan motosikal.

Susulan daripada perkongsian tersebut, rata-rata warganet telah meninggalkan komen dengan menzahirkan rasa simpati diatas ujian yang sedang menimpa mereka.

Mereka juga mendoakan agar urusan pasangan tersebut dipermudahkan dan mangsa-mangsa banjir kali ini bertabah dengan apa yang sedang dilalui.

Sumber: Facebook Raudhatul Jannah