7 Jenis Sungkup Atau Mulcing Organik Untuk Suburkan Tanaman Anda

Sungkup (mulch) ialah bahan-bahan organik yang digunakan untuk melitupi atas tanah untuk tanaman. Ia sememangnya satu keperluan di sebuah kebun organik dengan fungsinya untuk menekan rumpai supaya tidak tumbuh, penjimatan airbina kesuburan tanah, dan mengurangkan kerja-kerja perkebunan kita (ya benar, dan ini pasti menarik bagi yang kekurangan masa berkebun).


Malaysia mempunyai cuaca yang panas dan lembab sepanjang tahun. Bagi tumbuhan semusim seperti sayur keadaan panas sepanjang tahun ini boleh mendatangkan stres. Apabila sayur stres, hasil akan berkurangan, mudah berbunga awal seperti bawang, kubis, dan salad, serta senang diserang serangga perosak.

Perbezaan antara tanah yang ada sungkup dengan tiada sungkup.

Untuk itu, ia amatlah penting bagi sebuah kebun itu dikekalkan kelembapan dan keseujukan tanahnya dengan sungkupan. Sungkupan juga mampu mengurangkan kesan titisan hujan yang seterusnya boleh mengurangkan hakisan tanah dari kebun kita. Kita boleh lihat apabila hujan turun, aliran air di kebun kita akan kekal jernih, petanda sungkupan dan tanaman kita menjalankan tugas mereka. Jika ia berwarna coklat, nampaknya sesuatu perlu dijalankan kerana sumber nutrien tanah kita dibawa pergi.

Alhamdulillah, kebanyakan sungkupan boleh diambil daripada bahan-bahan organik sekitar laman atau kebun kita seperti potongan rumput, dedaun gugur, dan jerami padi. Ia mampu mengekalkan kelembapan tanah, menyejukkan suhu tanah, jimat air dan seterusnya bina kesuburan tanah, salah satu asas penting dalam perkebunan organik. Dan semestinya ia memudahkan kita sebagai pekebun. Sesuai untuk sesiapa yang membina batas timbun.

Ruth Stout, seorang pakar sungkupan tidak lokek berkongsi rahsianya. Beliau sering mengatakan sungkupan dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh dan ini dapat dilihat melalui bukunya iaitu ‘The Ruth Stout No-Work Gardening‘ dan ‘Gardening Without Work: For the Aging, the Busy, and the Indolent‘.

Dan terdapat satu berita baik buat semua – sungkupan boleh diletakkan pada bila-bila masa dan tiada istilah sudah terlewat untuk kebun anda! Maka, apa tunggu lagi, jika boleh lakukan sekarang!

Kelebihan pekebun belakang rumah, mereka mampu dapat sungkupan dengan mudah. Menurut pakar perkebunan Fern Marshall Bradley, penulis buku ‘Rodale’s Vegetable Garden Problem Solver‘, sungkupan boleh elak biji benih rumpai daripada bercambah dan jika ada juga yang terlepas, pastinya mudah untuk mencabut ia dari tanah. Disamping itu, kesihatan tanah meningkat, aktiviti mikroorganisma tanah bertambah, dan cacing tanah seronok berlingkar di bawah sungkupan yang semestinya dapat membaiki struktur tanah, lalu menyuburkan tanaman kita.

Pastinya juga, sayur kita bebas daripada percikan tanah ketika hujan atau semasa kita menyiram. Tuaian sayur bersih.

Jenis sungkup

1. Sabut kelapa

Malaysia kaya dengan buah kelapa. Jika pergi ke kampung-kampung pasti banyak pokok kelapa tumbuh melata. Sabut kelapa boleh menjadi sungkupan terbaik. Ambil dan letakkan sebagai sungkupan. Pastikan ambil isi sabut kelapa dan bukannya kulit yang keras.

2. Potongan rumput

Ambil potongan rumput yang tiada bunga. Selalunya lalang paling sesuai berbanding rumput yang sudah berkemuncup. Ini penting bagi mengelakkan rumpai tumbuh melata di kebun kita nanti.

3. Dedaun gugur

Ini paling mudah didapati. Sekitar bandar terdapat banyak pokok besar yang selalu daunnya gugur dan dikutip oleh pihak bandaraya. Apa kata tebalkan muka untuk meminta  2-3 beg plastik untuk dijadikan sungkupan kebun kita. Merekapun tidak kisah kerana akhirnya mereka akan buang juga beg plastik penuh dengan dedaun itu.

Pastikan sebelum menabur dedaun itu untuk buat sungkupan, potong ringkas. Guna parang atau sabit. Ini kerana menurutu Bradley, “Daun yang tidak dipotong, mungkin tebal dan boleh menghalang penyerapan air oleh tanah.”

4. Gabungan kompos

Kompos apabila kering menyebabkan mikroorganisma didalamnya mati. Letakkan 2-3 cm tebal kompos dan diikuti 2-3 cm potongan rumput atau jerami padi. Pastikan juga kita mengetahui bahan apa kompos kita dibuat, jika kita beli – sesetengah tempat menggunakan bahan buangan manusia (sesuatu yang dilarang dalam program organik).

Uji sama ada kompos kita elok atau tak dengan cuba mencabahkan beberapa biji benih sayur di atasnya. Jika peratus percambahan adalah rendah, mungkin pH kompos itu rendah (tanda ia berasid), atau ia penuh dengan bahan kimia racun perosak. Sama sekali kita tidak mahu benda itu berada di kebun dan tanaman kita.

5. Jerami padi dan rumput kering

Ia antara sungkupan yang paling ideal. Mudah didapati sekitar kawasan kampung. Pastikan rumput kering yang kita ambil bebas biji benih rumpai. Jika tak, rugi sahajalah matlamat kita menggunakan sungkupan.

Jerami padi mudah didapati kerana Malaysia mempunyai negeri jelapang padi.

Elak meletakkan sungkupan pada pangkal batang tanaman, kerana ia boleh menarik kedatangan siput babi dan perosak tanaman yang lain.

6. Sungkupan plastik

Sungkupan perak (silver shine) banyak digunakan oleh petani komersil. Ia adalah sungkupan yang paling cepat menekan dan mengelak rumpai tumbuh di kebun. Permukaannya yang bersinar serta dalamnya yang hitam mampu mengekalkan kelembapan tanah. Namun, penggunaannya tidak mapan. Plastik terhasil daripada petroleum dan banyak kajian mendapati apabila ia mula panas (katakanlah di bawah pancaran matahari), bahan kimia akan terlarut lesap daripada plastik itu.

Sungkupan perak memang ideal penggunaannya tapi bukan untuk perkebunan organik.

Untuk itu, saya mengsyorkan agar kita kekal dengan sungkupan organik disamping ia mampu menambah kesuburan tanah kebun kita.

7. Kertas

Gulungan kertas tebal ada dijual di sesetengah pusat perkebunan berfungsi menekan rumpai, dan Bradley berkata ia amat sesuai sekali untuk mengawal rumpai yang sukar dan banyak. Kertas kitar semula lebih mesra alam kerana proses penghasilannya daripada kertas dan dapat selamat pokok daripada ditebang. Walaupun begitu, saintis mendapati kertas kitar semula boleh terkandung bahan kimia berbahaya bisphenol A, atau BPA.

Sekali lagi, JTS menekankan bahawa sungkupan organik seperti potongan rumput, jerami padi dan dedaun adalah yang terbaik. Lagipun ia mudah didapati di belakang rumah kita sahaja!

Beberapa peraturan yang patut kita ketahui

  • Sila merumpai (buang rumput dan pokok tak berkaitan) sekeliling tanaman sebelum kita letakkan sungkupan.
  • Jangan sungkup berdekatan tanaman atau pangkal batangnya. Sungkupan yang basah boleh menyebabkan tanaman mudah diserang penyakit reput.
  • Jangan kedekut. Sungkupan nipis menyebabkan pancaran matahari mudah sampai ke tanah, tidak dapat menekan rumpai, air mudah tersejat, dan seterusnya memerlukan kita kerja lebih menyiram air pula. Untuk kawasan yang menerima pancaran matahari penuh, sungkupan setebal 5-7 cm adalah disyorkan manakala tempat yang redup memadai 3-4 cm tebal.
  • Letakkan habuk kayu pada taman bunga anda. Habuk kayu mengambil masa lama untuk lerai kerana nisbah C:N yang tinggi. Ia juga akan kacau proses penanaman kebun anda nanti (jangan pula letak pada rumah anda, tak nak pula masalah anai-anai timbul!) Letak sepanjang laluan batas. Elak membeli habuk kayu bercat kerana bahan kimia yang ia terkandung boleh membahayakan tanaman dan diri anda.
  • Jangan terlalu mahukan kebun bebas rumpai. “Kebun bebas rumpai bukanlah satu kemestian, cuma yang penting sungkupan mampu mengawal rumpai yang ada dan akan ada’” kata Bradley. Jika anda nampak rumpai mula naik, hanya tambah lagi sungkupan untuk mematikannya.

Tambahan

Penjimatan air. Gunakan pemutar skru sepanjang 12 cm untuk mengesan kelembapan tanah kebun anda. Cucuk dan lihat pada batangnya. Jika basah, bukan masanya anda untuk mengambil tong siram menyiram kebun anda.

Amalkan siram di awal pagi atau lewat petang sebelum cuaca menjadi panas supaya air siraman sempat menyerap masuk ke dalam tanah dan tidak mudah tersejat.

sumber:

  1. http://diaripetani.com/%20/petani/plastik-silver-shine-siap-di-pasang/
  2. http://www.rodale.com/garden-mulch
  3. gambar: google.com.my
  4. Kebun Bandar