Bermalas-malasan Petanda Seseorang Memiliki IQ Yang Tinggi

Penyelidikan terkini mendedahkan fakta yang anda mungkin sukar untuk percaya. Orang pintar memang malas dalam kehidupan seharian mereka.


Penemuan kajian yang berpusat di Amerika Syarikat seolah-olah menyokong tanggapan bahawa orang yang mempunyai IQ tinggi lebih suka menghabiskan masa mereka dengan berfikir, bukannya secara fizikal.

Orang aktif mungkin lebih suka bergerak kerana mereka perlu merangsang minda dengan aktiviti luar – sama ada kerana mereka mahu ‘melarikan diri’ dari berfikir atau mereka mudah bosan.

Untuk kajian ini, penyelidik dari Florida Gulf Coast University memberi ujian kepada sekumpulan pelajar. Mereka mengagih soal selidik yang meminta para peserta untuk menilai berapa banyak mereka bersetuju dengan beberapa kenyataan.

Sebagai contoh, “Saya benar-benar menikmati tugas menyelesaikan masalah,” dan “Saya hanya berfikir jika saya perlu melakukannya.”

Penyelidik yang diketuai oleh Todd McElroy kemudian memilih 30 “pemikir” dan 30 “bukan pemikir” dari semua calon.


Selama satu minggu, kedua-dua kumpulan menggunakan alat peranti di pergelangan tangan mereka. Peranti ini membolehkan penyelidik dapat memantau pergerakan dan tahap aktiviti kedua-dua kumpulan.

Hasilnya, golongan pemikir kurang aktif dalam seminggu berbanding dengan golongan bukan pemikir. Kajian ini telah diterbitkan dalam Journal of Health Psychology edisi April 2017.

Walau bagaimanapun, aktiviti kedua-dua kumpulan ini tiada beza pada hujung minggu. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh penyelidik, seperti yang dipetik dari laman Independent.co.uk.

Jelasnya, penemuan itu menguatkan idea bahawa bukan pemikir mudah bosan dan perlu menghabiskan masa mereka dengan aktiviti fizikal, termasuk bersukan.

Walau bagaimanapun, McElroy menggariskan impak negatif bagi orang yang kurang aktif dalam aktiviti fizikal. Beliau mencadangkan bahawa orang yang malas untuk bergerak – tidak kisah betapa pintar mereka – masih perlu meningkatkan aktiviti fizikal untuk kesihatan badan mereka sendiri.