Lahar Tasik Berapi Paling Luas Dijumpai Di Benua Antartika, Saintis Sah Ia Benar!

Sebuah tasik berapi yang luas ditemui di pulau ‘terpencil dan sukar dilawati manusia’ dekat benua Antartika pada tahun lalu, lapor akhbar Metro UK.


Tasik berapi itu adalah satu daripada lapan ‘tasik lahar kekal’ yang ditemui di permukaan Bumi dan dikenal pasti hasil analisis data serta gambar satelit.

Sebuah pasukan saintis pada mulanya mengkaji fenomena geo-haba di dalam kawah Gunung Michael di Pulau Saunders yang terletak dalam gugusan Kepulauan Falkland di bawah jajahan Britain.

Mereka kemudian menemui sebuah tasik bawah tanah seluas 215 meter dan dipenuhi lahar panas dengan suhu sekitar 1,000 darjah Celsius atau lebih tinggi.“Kami gembira kerana telah menemui satu ciri geologi menakjubkan di Wilayah Luar Pesisir Britain Falkland),” kata pakar geologi pasukan Tinjauan Antartika Britain, Dr. Alex Burton-Johnson.

“Penemuan tasik lahar ini dapat meningkatkan pemahaman kami tentang aktiviti gunung berapi dan bahaya yang wujud di pulau terpencil tersebut. Ia turut menambah pengetahuan tentang fenomena yang jarang ditemui itu dan akhir sekali, membantu kami membangunkan kaedah untuk memantau gunung berapi melalui satelit,” tambahnya.

Gambar tasik lahar itu belum diperoleh Metro UK buat masa ini, malah kedudukannya juga mungkin sudah berubah memandangkan penyelidikan tersebut tidak dapat mengesahkan kewujudan tasik berkenaan sehinggalah tahun 2018.

 

 

Tasik itu terletak di lokasi yang sangat sukar dicapai manusia sehingga memaksa penyelidik menggunakan satelit bagi mengambil gambar dari orbit Bumi.

“Gunung Michael adalah gunung berapi di sebuah pulau terpencil di Laut Selatan. Ia sangat sukar diterokai dan tanpa gambar satelit resolusi tinggi, mungkin sangat mencabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri geologi menakjubkan itu,” jelas penganalisis data Jabatan Geologi di Kolej Universiti London, Danielle Gray.

Terdapat kira-kira 1,500 gunung berapi di seluruh dunia tetapi hanya lapan tasik lahar ditemui setakat ini.

Baki tujuh tasik seumpamanya terletak di Gunung Nyiragongo di Republik Demokratik Congo, Gunung Erta Ale (Ethiopia), Gunung Erebus (Antartika), Gunung Kilauea (Hawaii), Gunung Masaya (Nicaragua) dan Gunung Ambrym serta Gunung Yasur (Republik Vanuatu). – Agensi