Betulkah Dia Kucing Paling Popular Di Malaysia?

Bujibu Chempel sangat dipuja kerana kecomelannya dan pengikutnya di Instagramnya kini mencecah hampir 1.1 juta orang.


Berkesempatan menemubual Hanis Zalikha tentang kucing kesayangannya ini, Bujibu berasal dari Ukraine, Rusia dan dari baka British Short Hair. Menurut Hanis, “Saya dapatkan Bujibu dari papa kucing terkenal, @johanandhiscats. Bujibu kini berusia setahun tiga bulan dan saya telah membelanya hampir 11 bulan.”

Jika anda mengikuti Instagram kucing ini, ada-ada sahaja aksi yang dilakukan dengan caption yang kelakar. Hanis menambah, “Chempel adalah nama asalnya di Rusia. Tetapi dia tak pernah respon kepada nama itu macam dia sendiri pun tertanya-tanya siapa Chempel tu. Jadi, saya tambahkan awalannya Bujibu. Bujibu tu datang daripada bunyi comel yang menggeramkan (“bujibujibujibu”) dan dari situlah Bujibu Chempel menjadi nama penuhnya.”

Nak tahu apa rutin seharian Bujibu? Setiap hari Bujibu akan kejutkan Hanis dan Hairul pada waktu subuh dengan muka lapar. Lepas makan, tidur, makan lagi dan tidur lagi. Bujibu akan meminta makan kepada Hanis setiap kali melihat Hanis ke dapur. Lepas makan lagi, buang air. Bila malam, Bujibu akan panjat ke dalam bakul babycot miliknya dan tidur sampai pagi.

Sering memperlihatkan wajahnya yang sombong bongkak, kata Hanis, itulah pesona dan personaliti semulajadi Bujibu Chempel. “Bujibu memang seekor kucing diva yang ego, juga cerewet sebab cuma makan ayam! Tapi dia manja. Jadi caption itu adalah refleksi kepada apa yang berlaku dan perasaannya di sebalik setiap gambar. Dia memang sombong bongkak tapi gemuk, manja dan clingy. Kalau kami pulang ke rumah dia akan meluru ke pintu dan hempaskan dirinya ke lantai. Macam rindu sangat! Tapi kalau dah kenyang, bye. Namun dia sangat bijak dan mendengar kata. Dia patuh pada setiap “no” dan setiap panggilan namanya dia akan datang. Tapi dia juga kuat menjawab,” jawab Hanis tentang perihal Bujibu.

Bersyukur kerana memiliki Bujibu, Hanis dan Hairul gembira kerana Bujibu disayangi ramai. Menurut Hanis lagi, “Bujibu memang tak pernah menyusahkan kami dan layak diminati. Bujibu juga salah satu pengerat hubungan saya dan Hairul kerana kami sama-sama suka dan teruja dengan telatah Bujibu. Kami juga seronok melihat hasil rakaman dan gambar kami di akaun Instagram Bujibu mendapat sambutan yang baik.” Hanis dan Hairul juga berterima kasih dan menghargai semua yang meminati kucing mereka.

Mari kita lihat telatah Bujibu Chempel:

Sumber: ROJAK DAILY