Maaf Tak Sengaja Tertumpah Minyak Panas

Di facebook viral kisah mengenai seekor kucing jalanan yang terpaksa menerima rawatan akibat terkena minyak panas dan kucing tersebut terpaksa melalui hari-hari yang penuh penderitaan.

Walaupun hanya seekor kucing terbiar dengan keadaannya  cukup mengerikan kita semua, tetapi masih ada seorang gadis berusaha untuk menyelamatkannya.

Menerusi laman sosial Facebook, gadis berkenaan membuat rayuan kepada netizen untuk memohon dana bagi membantu membiayai kos rawatan kucing malang itu.

“Saya merayu sangat-sangat. Tolong kongsi ‘post’ ni. Kasihan si Comel. Adik memerlukan kos kewangan untuk si Comel. Dapat RM1 seorang pun dah cukup,” katanya yang merujuk seekor kucing jalanan bernama Comel, sehingga statusnya pada Khamis lalu menjadi tular.

Gadis berkenaan, Noor Azura Mat Nasir, 32, berkata, kucing jalanan tersebut pada awalnya ditemui sepupunya, sebelum ia ditimpa minyak panas secara tidak sengaja dalam satu kejadian minggu lalu.

Noor Azura yang merupakan seorang pencinta kucing tampil membantu sepupunya itu dengan cuba berikhtiar untuk memulihkan kecederaan Comel.

Ketika menerima kucing tersebut yang cedera, dia berasa amat sedih dan terkejut sehingga kedua-dua tangannya menggigil.

“Insiden yang menimpa Comel mengakibatkan kulit kucing itu terjejas 30 peratus. Malah sebahagian kulitnya terpaksa dibuang kerana dah teruk.

“Saya dan adik perempuan menghantar Comel ke sebuah klinik veterinar di Kajang. Doktor beritahu keadaan Comel agak kritikal ketika itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mengenai usaha untuk mengumpul dana bagi merawat Comel, Noor Azura yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan memberitahu, dia diberitahu kucing tersebut memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk dipulihkan.

Noor Azura yang sebelum ini pernah membela kira-kira 20 ekor kucing jalanan berkata, keadaan itu memerlukan kos yang tinggi dan dia cuba memohon bantuan daripada rakyat Malaysia yang prihatin.

Artikel Berkaitan   Dah Dengar Kita Menang, Baru Konon Nak Bagi Kerjasama – Aishah Sindir Sinis Jihan Muse?

“Saya terkejut, dalam masa hampir dua hari saja, saya terima kutipan dana daripada orang ramai berjumlah kira-kira RM600.

“Tak sangka, walaupun hanya seekor kucing… kucing jalanan pula tu, masih ada rakyat Malaysia yang prihatin membantu menyelamatkan Comel. Walaupun mereka tidak mengenali saya dan saya bukanlah penjaga Comel, tapi mereka tidak putus-putus menyalurkan dana,” katanya sambil bersyukur dan terharu di atas sumbangan rakyat Malaysia.

Namun Noor Azura yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur berkata, dia diberitahu doktor bahawa keadaan kucing tersebut semakin kritikal dengan organ dalamannya dijangkiti kuman.

“Doktor kata Comel hanya ada 50-50 peluang untuk sembuh. Tak pasti Comel dapat bertahan lagi ke tidak. Keadaan itu membuatkan saya terpaksa memberitahu rakyat Malaysia untuk berhenti menghulurkan bantuan sehingga ada perkembangan positif.

“Tapi saya semalam (Sabtu) pukul 10.30 pagi saya dapat panggilan daripada doktor beritahu Comel dah tak ada, tak dapat diselamatkan. Saya sedih kerana saya dah cuba sedaya-upaya untuk Comel. Tuhan lebih sayangkan Comel,” katanya.

Reda dengan pemergian kucing jalanan yang hanya berada dalam jagaannya untuk waktu yang cukup singkat, Noor Azura berkata, dia akan terus membantu kucing terbiar terutama yang benar-benar sakit dan memerlukan rawatan.

“Saya harap kita semua janganlah hanya nak jaga atau ambil kucing tu kalau ia cantik saja. Tapi kalau yang sakit, buruk dan busuk dibiarkan saja.

“Kucing tu mungkin sekadar haiwan, tapi sebenarnya ia pun ada perasaan macam kita. Kucing Comel hanya seekor, tapi sebenarnya masih ada banyak lagi yang memerlukan bantuan kita yang ada hati dan perasaaan ni,” katanya.

Artikel Berkaitan   6 Jenis Serangga Yang Kerap Menggigit Kita Tapi Kita Buat Biasa, Padahal Satu Masa Ia Sangat Berbahaya

Sumber: mStar