Dijamin Sedap Setanding Macam Di Kedai-Resipi Nasi Arab Mandy Ayam

Teringin nak makan nasi arab? Jom cuba resepi nasi arab mandy ayam yang dikongsi oleh Nik Imana di bawah.


Tidak dinafikan, pasti ramai penggemar sajian dari Timur Tengah ini kan? Tidak kira tua atau mudah, semua suka!

Kalau makan di kedai, boleh tahan mahal juga harganya. Jadi kalau nak lebih puas hati, jom buat sendiri di rumah.

RESEPI NASI ARAB MANDY AYAM

Bahan-bahan masak ayam:

  • Ayam bahagian kaki (whole leg)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1/2 sudu lada hitam
  • 1/2 sudu jintan manis
  • 1/2 sudu jintan putih
  • 1/2 sudu ketumbar
  • 1 ketul pati ayam
  • Sedikit garam
  • Sebiji tomato
  • 1 biji cili hijau dipotong
  • Madu
  • Serbuk perasa
  • Serbuk kunyit
  • Serbuk cili
  • Hirisan lemon

Cara-cara:

1. Rebus keseluran ayam bahagian kaki bersama kulit kayu manis, lada hitam, jintan manis, jintan putih, ketumbar, pati ayam, sedikit garam, tomato dan cili hijau dipotong.

2. Rebus sehingga ayam masak pada bahagian dalam. Kemudian toskan ayam. Air rebusan jangan buang, ketepikan untuk dibuat sup dan nasi nanti.

3. Sapu ayam dengan sedikit padu, serbuk perasa, serbuk kunyit dan serbuk cili. Kemudian susun hirisan lemon dan panggang dalam air fryer atau oven.

RESIPI NASI MANDY

nasi arab mandy ayam

Bahan-bahan nasi:

  • 3 port beras basmathi
  • 1 sudu planta/minyak sapi
  • Sedikit biji ketumbar
  • Lada hitam
  • Jintan manis
  • Jintan putih
  • Daun salam
  • Daun ketumbar
  • Pewarna kuning

Cara-cara:

1. Cuci dan rendam beras basmathi selama setengah jam.

2. Panaskan planta atau minyak sapi. Tumiskan secubit biji ketumbar, lada hitam, jintan manis, jintan putih (kisar halus jika risau tergigit) dan daun salam.

3. Tumis sehingga semuanya naik bau, kemudian masukkan beras tadi.

4. Goreng sekejap, kemudian masukkan air rebusan ayam tadi mengikut sukatan biasa anda masak nasi. Letakkan juga secubit garam.

5. Bila nasi dah kering, taburkan daun ketumbar dan buang lubang di tengah nasi untuk letakkan pewarna kuning. Kemudian biarkan nasi sehingga masak.

RESIPI SALATAH (SALAD ARAB)

Bahan-bahan:

  • Bawang holland
  • Timun batang
  • Tomato
  • Perahan lemon
  • Garam
  • Gula

Cara-cara:

1. Potong kecil bawang holland, timun dan tomato. Letakkan di dalam mangkuk.

2. Perahkan lemon, taburkan garam dan gula secukup rasa. Gaul rata. Kalau tiada lemon, boleh ganti guna cuka.

RESIPI SAMBAL NASI ARAB MANDY AYAM

Bahan-bahan:

  • Cili merah
  • Tomato
  • Daun ketumbar
  • Garam
  • Perahan lemon

Cara-cara:

1. Kisar cili merah, tomato dan daun ketumbar. Perasakan dengan garam dan perahan lemon secukup rasa.

RESIPI SUP

Bahan-bahan:

  • Air rebusan ayam
  • Akar ketumbar
  • Garam
  • Serbuk kunyit

Cara-cara:

1. Lebihan air rebusan air tadi, tambahkan akar daun ketumbar. Kemudian tambahkan garam dan serbuk kunyit supaya nampak kuning.

2. Kemudian bolehlah hidangkan ayam ke atas nasi dan makan bersama bahan sampingan yang lain. Selamat mencuba!

resepi nasi arab

Kredit: Nik Imana