Inilah Syafaat Anak Kecil Yg Meninggal Dunia Kepada Bapanya Di Akhirat Nanti…

Rasulullah ﷺ pemberi syafaat utama kepada umatnya tetapi ada juga syafaat lain iaitu syafaat anak kecil yang meninggal dunia sebelum usia baligh sebagaimana diceritakan melalui kisah berikut ;


KISAH SYAFAAT ANAK KECIL

Hadrat Malik bin Dinar r.a. merupakan seorang warak yang masyhur. Kehidupannya pada permulaan tidak berapa elok. Salah seorang telah bertanya kepadanya, “Apakah yang telah berlaku yang membuat tuan bertaubat dari kehidupan yang terdahulu?”

Beliau menjawab, “Ketika dahulu saya seorang tentera, terlalu ketagih dengan arak dan sentiasa sibuk dengan arak. Saya telah membeli seorang hamba wanita yang amat jelita. Daripadanya telah lahir seorang anak perempuan yang amat saya sayangi. Anak itu pun sangat sayang kepada saya. Apabila dia telah mula berjalan bertatih, maka kasih sayang saya kepadanya telah bertambah dan dia sentiasa bersama saya.

Tetapi adalah menjadi suatu tabiatnya yang mana apabila saya hendak minum arak, dia mengambil cawan di tangan saya dan menuangkannya di atas pakaian saya. Oleh kerana saya terlalu sayang kepadanya saya tidak dapat membuat apa-apa dan ketika berusia 2 tahun, dia telah meninggal dunia. Kematiannya amat melukakan hati saya.

Berlaku sekali peristiwa pada malam 15hb Syaaban saya telah banyak minum arak. Dalam keadaan mabuk terus tidur. Solat Isyak pun belum ditunaikan.

Saya bermimpi kiamat telah berlaku. Manusia mengibas2 tanah dari kepala, mereka bangkit dari kubur masing-masing berjalan ke Padang Mahsyar. Ketika berjalan ke Padang Mahsyar, saya mendengar sesuatu di belakang saya. Saya melihat seekor AZDAHA (ular yang terlalu besar) mengejar saya. Ular itu berwarna hitam, bermata kuning, mulutnya terbuka luas. Ular itu datang kepada saya dengan pantas.

Dikuasai oleh perasaan takut yang amat sangat, saya pun berlari secepat mungkin. Sedang berlari saya bertembung dengan seorang tua yang berpakaian putih bersih, berbau harum. Saya telah memberi salam kepadanya dan dia pun menjawab salam saya.

Saya meminta, “Tolonglah tuan, ular itu sedang mengejar saya!”
Dia menjawab, “Aku sangat lemah. Dia terlalu kuat. Aku tidak mampu menolong kamu atau melawannya. Tetapi kamu mesti berlari laju lagi. Mungkin di hadapan nanti kamu boleh mendapat sesuatu untuk menyelamatkan diri kamu dari ular itu”.

Di satu tempat saya melihat satu busut dan terus naik ke atasnya. Saya nampak api neraka yang amat menjulang bahaya. Walaupun api neraka itu sangat dahsyat, namun kerana dikuasai perasaan takut pada ular itu saya hampir terjatuh ke dalam jurang api neraka itu.

Ketika itu saya mendengar satu suara yang agak kuat. “Undur balik. Engkau bukanlah dari kalangan mereka (ahli neraka)”.

Maka saya pun patah balik ke belakang dengan serta merta. Saya telah menemui orang tua yang berpakaian putih itu sekali lagi. Saya berkata kepadanya, “Kasihanilah terhadap saya tuan! Sebelum ini pun saya telah meminta tolong. Tuan tidak membuat apa-apa. Tolonglah sedikit. Ular itu tetap mengejar saya!.”

Mendengar kata-kata saya itu, orang tua itu menangis sambil berkata, “Apakah yang aku boleh buat. Kamu melihat aku ini sangat lemah dan ular itu terlalu kuat. Bagaimana aku boleh melawannya? Akan tetapi, di hadapan sedikit ada lagi satu bukit di mana ada amanah orang2 Islam. Barangkali kamu pun ada sesuatu amanah di situ yang akan menjadi asbab keselamatan kamu dari ular itu”.

Saya pun berlari sehingga sampai di bukit itu. Ular itu pun turut mengejar saya ke sana. Di bukit yang bulat itu banyak tingkap yang terbuka. Tirai dari sutera tergantung dengannya. Setiap tingkap ada dua daun tingkap dari emas, dihiasi dengan permata yaqut & mutiara.

Apabila saya cuba naik ke atas tingkap itu, saya dengar satu suara malaikat, “Bukalah tingkap dan angkatlah tirai. Keluarlah kamu sekalian! Mungkin di kalangan kamu ada sesiapa yang merupakan amanah orang bermusibah ini dan ia boleh menolongnya”.

Dengan serta merta tingkap itu dibuka dan ramai kanak-kanak seperti bulan purnama keluar dari dalam bukit itu. Tetapi saya dalam keadaan gelisah kerana ular itu semakin menghampiri saya.

Ketika itu semua kanak-kanak pun menjerit dan berteriak, “Keluarlah semua cepat-cepat! Ular itu semakin hampir menangkap orang yang bernasib malang itu!”.

Kanak-kanak seperti tentera demi tentera keluar dari bukit itu. Kebetulan pandangan saya tertumpu kepada anak perempuan saya yang telah meninggal dunia pada usia dua tahun. Melihat saya dia mula menangis sambil berkata, “Demi Allah! Itu adalah ayahku!”

Dengan serta merta dia pun terjun seperti anak panah dan naik ke atas satu kenderaan nur (cahaya) dan menghulur tangan kirinya kepada saya. Saya pun dengan pantas memegang tangannya. Kemudian dia menghulurkan tangan kanannya kepada ular itu yang terlalu hampir kepada saya. Maka ular itu pun lari ke belakang. Selepas itu dia memberi saya tempat duduk dan dia sendiri duduk di atas pangkuan saya.

Dia menggerakkan tangannya di atas janggut saya sambil berkata, “Ayah! Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang beriman untuk khusyu’ hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan kepada mereka?”

Firman Allah سبحانه وتعالى :
وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
“Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang fasik – derhaka.”(Surah Al-Hadeed: 16).

MENANGIS MENDENGAR JAWAPAN DARI ANAK

Mendengar kata-katanya itu saya mula menangis. Saya bertanya kepadanya, “Wahai anakku! Kamu semua pandaikah membaca Al-Quran?”

Dia menjawab, “Kami lebih pandai membaca Al-Quran daripada kamu sekalian”.
Saya bertanya, “Anakku, apakah musibah ular itu?”

Dia menjawab, “Itulah amalan ayah yang berdosa. Ayah telah membekalkan kekuatan yang banyak kepadanya sehingga dia sedaya upaya membawa ayah ke dalam neraka!”.
Saya bertanya lagi, “Siapakah orang tua yang warak itu?”

Dia menjawab, “Dia itu amalan baik yang dilakukan ayah. Tetapi ayah telah membiarkan dia lemah sehingga dia tidak dapat menghapuskan ular itu. Akan tetapi, dia telah menunjuk ayah akan jalan keselamatan.”

Saya bertanya lagi, “Anakku, apakah yang kamu buat di dalam bukit itu?”

Dia menjawab, “Kami semua anak-anak orang Islam. Kami akan berada di situ sampai kiamat menanti-nanti kedatangan kamu. Apabila kamu datang, maka kami akan memberi syafaat untuk kamu.”

Berbahagialah mereka yang ada saham di akhirat melalui kematian anak-anak sebelum usia baligh mereka. Anak mereka itu dapat menyumbang syafaat kepada ibu bapanya. Selagi masih beriman, walau siapa pun ibu bapanya, mereka tetap akan dicari oleh si anak untuk memberikan syafaatnya bagi memasuki syurga.

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Rujukan : Fadhilat Sedekah karangan Staikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariya R.A.

وَالسَّلاَمْ

 

Sudah Baca, Klik Like Dan Komen Dibawah Jika Tulisan Ini Bermanfaat. TQ – IslamItuindah