Jangan Pandang Income Sikit! Petani Moden Setaraf Pekerja Profesional, Mampu Jana Pendapatan Lumayan Setiap Bulan

PURATA umur pesawah di kawasan jelapang padi MADA di Kedah dan Perlis adalah sekitar 60 tahun. Bagi sektor kelapa sawit, lebih 80 peratus pekebun kecil berumur lebih 45 tahun. Sektor pertanian sering dianggap sektor yang dimonopoli golongan berumur dan berkemahiran rendah.


Ini bukanlah sesuatu yang unik di Malaysia. Perkara sama juga dihadapi negara lain. Kajian yang dijalankan menunjukkan kekurangan pembabitan generasi muda mungkin kerana tiada akses kepada sumber utama pertanian iaitu tanah dan kekurangan sumber kewangan.

Tetapi, kehadiran teknologi dalam pertanian mampu mengurangkan jurang ini. Pertanian moden tidak lagi perlukan ruang tanah luas mahupun tenaga buruh ramai.

Teknologi pertanian moden seperti teknik susun-tindih, serta teknologi hidroponik terkini mengurangkan penggunaan tenaga buruh serta keperluan ruang minimum.

Hasilnya, menerokai bidang pertanian tidak perlu modal tanah tinggi. Evolusi teknologi dalam pertanian juga menyebabkan kos peralatan pertanian moden semakin rendah lantas kos permulaan minimum.

Bagi generasi muda daripada keluarga petani dan mempunyai tanah agak luas, kepesatan teknologi dalam bidang pertanian mampu menggalakkan mereka terus bertani – sebagai petani moden generasi kedua.

Bantu petani pantau kawasan bermasalah

TANGKAK 18 JULY 2016. ( METRO PLUS JP3934 / GAMBAR FAIL ) Jentera penuai memunggah padi ke dalam lori di sawah padi Kampung Sawah Ring, Ledang STR/HAI ROZZAMAN JALAL

Untuk mengurus ladang yang agak besar, penggunaan dron serta automasi boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh lantas dapat mengurangkan kos operasi.

Teknologi satelit juga mampu membantu petani memantau kawasan bermasalah dengan lebih tepat dan menyeluruh. Penggunaan imej satelit, berserta dron dapat mengenalpasti kawasan yang memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus di samping mengenal pasti risiko dan serangan penyakit secara lebih tepat.

Pembabitan generasi muda dalam bidang pertanian juga perlu dilihat di luar skop dan sistem pertanian konvensional. Ini terpapar melalui minat generasi muda mencari sumber makanan alternatif seperti protein buatan.

Sebagai contoh, proses pembiakan serangga sebagai protein alternatif yang dahulunya dilaksanakan usaha tani tradisional kecil-kecilan di pedalaman Asia, kini mendapat tempat agropreneur muda di Amerika Syarikat dan Perancis. Dua negara ini membawa kaedah pembiakan serangga sebagai sumber protein alternatif ke tahap lebih tinggi melalui kaedah automasi.

Pertanian bandar ikut teknologi hidroponik

Generasi muda yang semakin peka terhadap isu alam sekitar juga mempengaruhi penyertaan dalam pertanian moden. Dalam keinginan mendapatkan makanan yang tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar, generasi muda terutama yang tinggal di kota banyak terbabit dalam ‘pertanian bandar.’

Bentuk pertanian terbaru ini merangkumi teknologi hidroponik terkini, teknologi penderiaan jauh (lebih dikenali sebagai teknologi remote sensing) dan teknologi pencahayaan untuk penanam dalam bangunan.

Kepesatan teknologi sebagai daya penarik kepada belia untuk membabitkan diri dalam bidang pertanian telah menjadi strategi utama di banyak negara. Di Eropah, sungguhpun jumlah generasi muda dalam pertanian adalah rendah, namun tahap kemahiran mereka adalah lebih tinggi.

Statistik menunjukkan, seorang setiap lima petani muda Eropah mempunyai pendidikan dan latihan pertanian secara formal, berbanding petani lebih berumur yang hanya bertani melalui pengalaman. Di samping itu, petani muda di Eropah di bawah umur 35 tahun membuat pelaburan purata tertinggi jika dibandingkan petani yang lebih berumur.

Ini menunjukkan petani muda lebih berminat untuk gunakan teknologi dan automasi dalam pertanian. Di Jepun, jumlah generasi muda dalam pertanian juga beransur meningkat. Industri pertanian di Jepun mencatat penambahan 23,000 orang pekerja di bawah umur 49 tahun pada 2015, berbanding 18,000, lima tahun sebelumnya.

Kebanyakan mereka berkelulusan tinggi serta guna teknologi pertanian terkini. Kajian di UK juga mendapati petani millennial lebih berkemahiran tinggi dan mesra teknologi, serta meletak pertanian sebagai karier pilihan.

Menyedari hal ini, banyak negara seluruh dunia memperkenalkan pelbagai dasar membabitkan penggunaan teknologi sebagai pemangkin untuk menarik generasi muda menyertai bidang pertanian.

Malaysia juga tidak ketinggalan. Seiring negara maju lain, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenal Program Agropreneur Muda.

Petani moden setaraf pekerja profesional

Program ini juga dilaksanakan di peringkat agensi. Sebagai contoh, program agropreneur muda MARDI memberi pendedahan berkaitan konsep keusahawanan moden serta teknologi berkaitan tanaman.

Bajet 2018 juga beri penekanan kepada usaha mewujudkan lebih banyak usahawan termasuk dalam pertanian. KRI melihat perkembangan teknologi dalam pertanian ini sebagai satu agenda penting untuk Malaysia dan sedang berusaha mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam.

Kesimpulannya, masyarakat perlu buang persepsi ‘selut dan terik matahari’ dan kesusahan keluarga Lahuma yang diceritakan oleh Shahnon Ahmad melalui novelnya iaitu Ranjau Sepanjang Jalan. Tidak mustahil, pada masa singkat, kemahiran serta kelulusan menjadikan petani moden mungkin setaraf pekerja profesional di syarikat antarabangsa.

Penulis ialah Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah Via Harian Metro