Lelaki Buat Kejutan Kepada Kekasihnya, Hantar Cincin Lamar Di Angkasa Buat Kekasihnya Terharu

Seorang lelaki memutuskan untuk meminang kekasih zaman kanak-kanaknya dengan melancarkan cincin pertunangan yang dibelinya ke ruang angkasa untuk melamar menggunakan rakaman perjalanan cincin tersebut.

Liam Bove berjaya merancang lamaran tak terjangkau dek akal itu dalam masa setahun dengan kerjasama syarikat ‘Sent Into Space’ bagi menetapkan momen yang paling sempurna dan istimewa untuk kekasihnya selama 15 tahun, Becky Dixon.

Lelaki berusia 31 tahun itu meminati ilmu kosmologi sepanjang hidupnya dan minat itu turut dikongsi bersama teman wanitanya itu, sekali gus memberikannya inspirasi untuk lamarannya itu.

Setelah setahun merancang, cincin pertunangan jenama Tiffany & Co. berserta dengan kotaknya dibawa naik sehingga 100,000 kaki dari Bumi.

Apabila matahari menyinari barang perhiasan itu, permandangan Bumi dapat dilihat di latar belakang kotak cincin tersebut sementara ia dibawa meneroka seluruh ruang angkasa.

Cincin pertunangan serta rakaman yang diperolehi kemudian dibawa turun semula ke Bumi dan dihantar kembali kepada Liam supaya dia boleh membuat lamarannya.

Menurut lelaki dari England itu, teman wanitanya kelihatan keliru apabila rakaman tersebut ditunjukkan kepadanya dan menyangka ia adalah rakaman kekasihnya itu sedang melakukan bungee jumping.

Secara keseluruhan, kos penerbangan ke angkasa lepas itu memakan kos sebanyak £2,500 (RM 13,368.16) tidak termasuk kos cincin, dan perjalanan cincin itu mengambil masa dua jam dan lima minit.

Syarikat Sent Into Space telah melakukan lebih daripada 500 penerbangan ke luar stratosfera berhampiran angkasa lepas menggunakan belon gas yang lebih ringan dari udara di mana kamera dapat merakam kelengkungan bumi, garisan biru atmosfera, serta ruang angkasa.

kredit HCL