“Minta Maaf Ye, Kami Yang Beruniform Biru Dari Sektor Swasta Pun Sangat Berhati-Hati” Jururawat Mengajar Cara Cuci Tangan Dipanggil Pihak Atasan

KUALA LUMPUR, 16 Mac ― Laman Facebook Delegation of Nurses meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila video seorang jururawat yang menunjukkan cara mencuci tangan dengan cara betul sehingga tular di media sosial baru-baru ini ditegur pihak atasan.


Rakaman video berdurasi seminit jururawat wanita, dipercayai seorang kakitangan awam, menunjukkan langkah-langkah menggunakan cecair pembasmi kuman dimuat naik laman Facebook Sedar Malaysia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataan memaklumkan mereka mendapat maklumat bahawa jururawat itu menerima tindakan atas alasan ia di luar bidang tugas jururawat itu.

“Kami dapat tahu bahawa terdapat seorang jururawat memberi penjelasan kepada pihak atasan mengapa beliau merakamkan kaedah cucian tangan dengan betul melalui media sosial. Rasional tindakan hanya berdasarkan atas faktor beliau sedang memakai pakaian seragam jururawat,” tulis kenyataan itu.

Mereka kecewa dengan tindakan sedemikian kerana jururawat tidak terikat di wad dan klinik semata-mata tetapi sentiasa mendidik masyarakat berkaitan kesihatan.

“Jururawat yang berfikiran kritis akan cuba ambil kesempatan untuk mendidik masyarakat tentang maklumat kesihatan yang betul.

“Adalah dinyatakan bahawa jururawat seharusnya sentiasa mendidik masyarakat tidak kira masa, tempat atau individu seperti yang disarankan Majlis Kejururawatan Antarabangsa sempena Hari Jururawat 2020,” tulis kenyataan Delegation of Nurses.

Tips untuk membersihkan tangan menggunakan cecair hand sanitizer.7 langkah yang wajib anda ikut.Jaga kesihatan anda.Terima kasih kepada jururawat yang merakamkan video ini.

Posted by SEDAR Malaysia on Khamis, 12 Mac 2020

Katanya, tindakan pihak atasan yang dilihat cuba mengekang usaha jururawat tersebut menyebarkan ilmu di media sosial dianggap sebagai “tidak memahami semangat dan nilai jururawat sebenar”.

NGO itu turut bimbang tindakan itu nanti akan menyebabkan kebebasan jururawat melaksanakan kempen serta pendidikan kesihatan di luar waktu kerja tersekat disebabkan wujudnya halangan.

Mereka juga berharap isu ini dipandang serius, di saat negara berdepan ancaman wabak Covid-19.

“Jangan kita bersikap ‘inferior’ terhadap karier sendiri.

“Dah penat dengan golongan atasan yang tak celik!” tulis kenyataan itu.

Mendapat 9,800 tanda suka dan lebih 3,700 perkongsian, seorang pengikut mendakwa larangan seperti itu juga wujud dalam sektor swasta.

“Minta maaf ye, kami yang beruniform biru dari sektor swasta pun sangat berhati-hati nak pos apa-apa berkaitan isu semasa ni. Sebab apa, pihak atasan sentiasa memantau siap larang lagi,” tulis Nurul Azrul.

Kebanyakan pengikut menyokong tindakan jururawat tersebut sementara segelintir pengikut pula menyarankan agar jururawat itu menukar pakaian seragam sekiranya ingin merakam video berunsur pengajaran di laman sosial bagi mengelakkan sebarang tindakan majikan.