Pendapatan Bersih Jualan Sawit Hanya RM180, Persiapan Persekolahan Anak Terbantut

BUKIT GANTANG 11 Dis.– Tatkala ibu bapa lain mula melakukan persiapan persekolahan untuk anak-anak mereka, lain pula situasinya buat pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kelapa sawit di atas tanah sendiri bagi meneruskan kelangsungan hidup.


Harga komoditi sawit yang jatuh menjunam menyebabkan Md. Hanafiah Nayan, 61, dari Kampung Batu Hampar Dalam, Trong di sini, terpaksa berjimat-cermat dalam per­belanjaan harian.

Apakan tidak, pendapatan bersih daripada jualan sawit diperoleh Md. Hanafiah dalam masa 20 hari hanya berjumlah RM180 kesan daripada kejatuhan harga kepada RM260 setan.

Md. Hanafiah berkata, berbeza ketika harga sawit mencecah RM480 ke RM500 setan sebelum ini, tanggungjawabnya untuk membesarkan dua daripada enam anaknya yang masih lagi bersekolah kini menjadi berat akibat masalah itu.

“Anak saya, Mohd. Haziq akan masuk tahun enam tahun depan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar sementara Nurul Jannah pula tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat, namun satu persiapan pun saya belum buat. Saya tengah kumpul sedikit-sedikit (wang).

“Kalau dahulu ada bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap anak, sekurang-kurangnya dapatlah membantu persiapan mereka untuk naik sekolah tetapi sekarang sudah tiada lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Md. Hanafiah berkata, de­ngan pendapatan bersih sebanyak RM180 yang diperoleh dalam masa 20 hari, itu bermakna dia sepatutnya hanya boleh membelanjakan seba­nyak RM9 sehari, yang mustahil dilakukan.

Namun katanya, perkara itu agak mustahil kerana perbelanjaan untuk kedua-dua anaknya yang masih bersekolah sahaja memerlukan sebanyak RM10 sehari termasuk tambang bas.

“Jenuh saya kawal perbelanjaan keluarga, hanya berbelanja untuk perkara yang benar-benar penting sahaja dan untuk persekolahan anak. Hendak menampung perbelanjaan keluarga, saya juga membela ayam dan ambil upah mengait buah sawit orang lain. Dua orang mengumpulkannya setan, dapatlah RM50,” katanya.

Md. Hanafiah yang mengusahakan tanaman kelapa sawit sejak 20 tahun lalu di kebun seluas kurang sehektar berkata, kos baja juga harus difikirkan kerana untuk mendapatkan hasil yang baik, setiap pokok memerlukan pembajaan sebanyak dua kilogram dalam tempoh tiga bulan sekali.

“Kami tidak mendapat sebarang subsidi untuk baja. Baja sahaja dijual pada harga RM60 untuk 25 kilogram. Namun setakat ini, saya belum lagi meminjam kepada sesiapa jika tidak cukup wang melainkan daripada anak-anak yang sudah bekerja, namun ada juga (pekebun kecil sawit lain) terpaksa berhutang dahulu dengan para penimbang,” katanya – Utusan Online

betasus giriş

blade tipster