Pengemis Minta Makanan Dari Seorang Gadis Dan Tindakannya Membuatkan Ramai Tersentap

Pengemis Minta Makanan Dari Seorang Gadis Dan Tindakannya Membuatkan Ramai Tersentap. Pengemis selalu dilihat kotor dan jijik. Tidak semua juga dengan rela hati mampu duduk semeja dan makan bersama mereka. Namun apa yang dilakukan gadis ini adalah sesuatu yang patut dipuji.


Melalui perkongsian Faye Ares, seorang pelajar kolej dari Filipina, dia tidak kisah untuk duduk semeja dan makan bersama seorang pengemis sambil mendengar kisah hidup yang diceritakannya.

“Semalam pada pukul 2 petang, saya ke pusat membeli-belah sambil berfikir apa yang patut saya makan hari ini sebelum saya ditegur oleh seorang lelaki tua yang berkata,

“Cik, saya minta maaf tapi saya ada perkara yang hendak diberitahu. Tolong jangan marah. Dan saya minta maaf sebab mengganggu. Saya tak minta duit, sebaliknya saya cuma nak minta makanan sebab saya lapar.”

“Buat beberapa minit saya terkejut seketika, bukan kerana dia seorang yang tidak dikenali tetapi kerana dia boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Saya amat tersentuh dengan keadaannya pada ketika itu,” kata Faye lagi.

Dengan itu, Faye membawa orang tua tersebut ke sebuah restoran bernama Jollibee sambil menudingkan jarinya ke arah restoran itu. Lelaki tua itu bagaikan tidak percaya dengan pelawaan Faye dan sempat memberi reaksi, “betul ke ni?” kepadanya.

“Saya dapat melihat kegembiraan pada wajahnya dan air mata bergenang di mata. Saya memberitahu dia untuk mencari sebuah meja buat kami berdua sementara saya beratur untuk dapatkan makanan.”

Tambahnya lagi, “Selepas seminit, dia datang kepada saya dan berkata, “Saya ingat awak dah hilang tadi.”

Selepas selesai mendapatkan makanan, Faye duduk dan makan bersama lelaki tua itu. Dia mula bertanyakan tentang kisah lelaki tersebut.

“Namanya Jansen Locsin. Menariknya, lelaki ini pernah menerima ijazah di Universiti Ateneo Manila dengan latar belakang ekonomi. Dia juga pernah mengajar di UP (Universiti Filipina) dan Ateneo sebelum ini.”

Jansen tidak mempunyai isteri atau anak. Bapanya pula sudah meninggal dunia dan ibunya masih lagi hidup. Dia hanya mahu pulang ke keluarganya di Bacolod (sebuah bandar di Filipina). Lelaki yang berusia 70 tahun ini datang ke Cebu untuk berniaga, namun sesuatu menimpa hingga menyebabkan dia bankrap.

Walaupun begitu, Jansen sempat menasihati Faye untuk belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan itu sangat penting.

“Selepas kami makan di Jollibee, kami keluar dari kedai tersebut dan saya beri dia sebotol air bersama wang seratus pesos (RM8.05). Walaupun bilangan wang tersebut sikit, namun saya yakin ia amat bermakna baginya. Pada mulanya dia enggan menerima wang tersebut, namun saya beritahu dia yang saya hanya berniat untuk membantunya sahaja.”

Faye tidak mampu untuk memberi wang yang lebih kerana dia seorang pelajar dan dia juga tidak bekerja. Namun kegembiraan pada mata lelaki tua itu sudah cukup membuatkan hati Faye tenang.

“Kami mengucapkan selamat tinggal. Tapi sebelum itu, dia meminta nombor telefon saya kerana dia ingin berterima kasih dengan saya sebelum dia meninggalkan Cebu. Tambahan pula, dia tidak menyangka yang saya ingin makan dan bercakap bersamanya seperti orang biasa yang lain,” tambah Faye lagi.

Selepas perkongsian tersebut tular di laman Facebook, netizen kebanyakannya memuji kemuliaan hati Faye yang sanggup makan bersama lelaki tua itu. Dan yang paling mengejutkan, perkongsian itu mendapat perhatian seorang lelaki yang mempunyai nama akhir yang sama dengan Jansen.

Semoga impian Jansen untuk pulang ke kampung halaman dan bertemu dengan ahli keluarganya tertunai nanti.