“Saya Keluar Untuk Minum Air Dan Ternampak Kerusi Roda Itu Bergerak Sendiri” Rakaman CCTV Dapat Merakam Hantu Naik Kerusi Roda

CHANDIGARH, Punjab – Sebuah kerusi roda dirakam bergerak secara sendiri berdasarkan rakaman sebuah kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di pintu masuk sebuah hospital di India baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.

Kejadian pada lewat malam itu menunjukkan kerusi roda tersebut mula bergerak ke pintu masuk Institut Pendidikan Perubatan dan Kajian Lepasan Ijazah di Chandigarh.

Ia terus bergerak menuruni tanjakan ke arah sebuah taman sebelum berputar mengelilingi sebatang tiang.

SEBUAH kereusi roda bergerak ke arah tanjakan sebelum menuju ke sebuah taman dan pintu pagar institut perubatan tersebut.

Pengawal keselamatan, Manoj Kumar yang menyaksikan kejadian berkenaan pada 19 September lalu melahirkan rasa tidak tenang dengan peristiwa itu.

Rakaman itu juga mencetuskan spekulasi dalam kalangan kakitangan hospital bahawa kerusi roda itu digerakkan oleh hantu yang mahu keluar dari hospital berkenaan.

Ramai kakitangan berasa takut untuk bekerja pada syif malam disebabkan kejadian misteri itu.

RAKAMAN CCTV menunjukkan kerusi roda bergerak sendiri di Institut Pendidikan Perubatan dan Kajian Lepasan Ijazah di Chandigarh, India baru-baru ini.

Bagaimanapun, seorang doktor di hospital itu berkata, kerusi roda berkenaan bergerak disebabkan oleh tiupan angin memandangkan ia diletakkan di kawasan separa tertutup.

Kumar yang merupakan sebahagian daripada sepasukan tiga orang pengawal keselamatan menambah: “Seorang daripada kami keluar meronda dan seorang lagi di dalam bangunan.

“Saya keluar untuk minum air dan ternampak kerusi roda itu bergerak sendiri. Ia hanya tiupan angin, bukan benda lain. Saya juga berasa sangat sejuk pada ketika itu,” katanya. – Agensi

Artikel Berkaitan   Kanak-Kanak 12 Tahun Bimbang Rakan-Rakan Ketinggalan Pelajaran Nekad Jadi Guru Dan Sekarang Memiliki 30 Murid