Tanam 4000 Pokok, Harga RM5 Sekilo, Pendapatan Mencecah RM45,000, Adinan Jana Pendapatan Sampingan Usahakan Roselle


KLUANG  – Seorang peneroka, Adinan Amran, 48, kini boleh berbangga kerana hasil titik peluhnya mengusahakan tanaman roselle membuahkan pendapatan lumayan lebih RM3,800 sebulan.


Lebih membanggakan, tanaman itu bukan sahaja menambah pendapatannya sebagai peneroka di Felda Layang-Layang, malah ladang roselle di tanah seluas 9.7 hektar itu juga berjaya meningkatkan eksport makanan negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, sebanyak 4,000 pokok roselle yang ditanam sejak dua tahun lepas, kini berjaya menghasilkan 13,000 kilogram (kg) bunga dan dijual pada harga RM3.50 satu kg yang memberi pulangan RM45,500 dalam tempoh enam bulan.

“Pada mulanya, pokok roselle itu ditanam di tanah seluas 1.6 hektar dengan hasil pengeluaran mencecah lebih 6,000kg bunganya yang dijual dengan harga RM2.80 satu kg untuk menghasilkan pendapatan RM16,800 dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini, baru-baru ini.

Adinan berkata, hasil tani itu kemudian diserahkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang kemudian mengeksportnya melalui syarikat Aslah Sdn. Bhd., ke Australia, Amerika Syarikat dari Eropah.

“Saya gembira kerana harga roselle ini sentiasa meningkat dan permintaannya di luar negara terlalu tinggi sebab penduduk di Barat menggemari roselle sebagai makanan atau dijadikan jus minuman untuk membekalkan vitamin C,” katanya.

Katanya, selepas menyertai beberapa kursus dan berbekalkan pinjaman daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebanyak RM20,000 dan Jabatan Pertanian berjumlah RM8,400 serta modal sendiri RM9,000, maka tanaman yang jarang-jarang ditanam secara besar-besaran itu diusahakan.

Adinan berkata, roselle adalah sejenis pokok yang mengeluarkan buah dan bunga, tetapi hanya kelopak bunga itu sahaja yang diambil dengan diasingkan selepas buahnya dipetik.

Mengenai penjagaan tanaman itu, beliau berkata, ia boleh digolongkan sebagai mudah dijaga namun terdapat beberapa penyakit yang sering menyerangnya akibat serangga dan terkena hujan.

Katanya, penyakit yang biasa menyerang ialah reput pangkal batang namun ia dapat diatasi dengan bantuan Jabatan Pertanian.

Benih pokok itu dibeli daripada Jabatan Pertanian dan ditanam dalam polibeg sebelum dipindahkan ke ladang. Pokok itu perlu disembur racun secara berkala dan selepas enam bulan ia mula mengeluarkan buah untuk dituai.

Menariknya, beliau berkata, apabila sudah berbuah, rumput-rumput di sekitar pokok itu tidak perlu dibersihkan sebaliknya perlu dibiarkan semak bersama pokok tersebut kerana keadaan itu memberi perlindungan kepada pokok.

Selepas buahnya dipetik ia akan diasingkan antara kelopak dan biji di sebuah bangunan di ladangnya oleh pekerja-pekerja sebelum bunga itu dihantar ke FAMA.

Kegigihan Adinan wajar dicontohi kerana selain meraih keuntungan bersih sebanyak RM3,800 sebulan, beliau juga mempunyai nilai aset RM143,000 dan menggajikan kira-kira 10 pekerja dengan upah antara RM600 hingga RM800 seorang setiap bulan.

Baginya, tanaman roselle amat berpotensi dikembangkan dan diceburi oleh peneroka atau usahawan lain yang ringan tulang mahu berbakti kepada tanah kerana pulangannya cukup lumayan – Utusan Online

Rolelle Penemanku

Berpegang kepada prinsip berbudi pada tanah pasti ada hasilnya menjadikan seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memilih menanam roselle sebagai ‘medan tempur’ selepas menamatkan perkhidmatannya.

Alias Ali, 46, memilih roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa yang kaya dengan kandungan antioksidan dan vitamin C diusahakan di Sungai Limau, Kampung Pasir Pandak di Sitiawan, Perak sejak awal tahun ini.

Roselle juga dikenali sebagai ‘bunga merah’ selain asam paya, asam kumbang dan asam susur itu hidup subur tanpa memerlukan pengurusan tanaman yang cerewet.

Menurutnya, selepas menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tentera pada Julai tahun lalu dia memilih menanam roselle atas dasar minat selain turut disokong keluarga dan saranan rakan yang menanam tanaman sama.

“Hingga kini, saya mempunyai 3,000 pokok roselle yang ditanam di atas tanas seluas 0.6 hektar dengan sepokok boleh mengeluarkan hasil mencecah lebih dua kilogram untuk sekali dipetik.

“Roselle antara tanaman yang mudah dan kurang risiko penyakit yang boleh dipetik seawal usia tiga setengah bulan ke empat bulan selepas mengeluarkan putik bunga selepas dua setengah bulan ditanam.

“Ia juga tidak memerlukan air yang banyak dan siraman air ketika musim kemarau sekali sehari sahaja. Tanaman yang kaya dengan khasiat untuk kesihatan ini ditanam daripada jenis UMKL 1 menggunakan tanah gembur berpasir,” katanya.

Katanya, biarpun tanaman itu kaya dengan khasiat namun dia menyedari roselle masih kurang dikenali dan ada segelintir individu tidak mengetahui kegunaan dan cara memasak buah itu.

“Mengikut carian saya roselle di negara kita antara terbaik di dunia dan ia mempunyai kelebihan tersendiri serta nilai pasaran yang baik.

“Saya sendiri sudah merasai kelebihan buah itu apabila saya kerap dijangkiti selesema sebelum ini dan menjadikan air roselle sebagai minuman harian saya sudah tidak mengalami masalah itu,” katanya.

Menurut bapa kepada dua anak itu, setakat ini pasarannya agak terhad memandangkan usaha yang dilakukan masih baru dan hasil dijual kepada penduduk kampung dan rakan yang mengusahakan produk roselle di sekitar daerah ini.

“Hasil ini dijual dengan harga RM5 sekilogram manakala RM2.50 pada harga borong.

“Kini saya juga sudah membuat benih sendiri dengan mengeringkan biji roselle selama seminggu sebelum ditanam,” katanya yang memasang impian untuk meluaskan tanaman dan mempelbagaikan produk.

Alias berkata, selain dijadikan kordial, roselle juga sesuai dijadikan jus, jeruk, acar, jem dan halwa.

“Malah pucuknya juga boleh ditambah dalam masakan kari atau di buat ulam yang pasti akan digemari,” katanya – Harian Metro

APA ITU ROSELLE

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa Sabdariffa L. merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat dalam sejarah perubatan dan juga kecantikan.

Roselle merupakan tumbuhan bermusim dan boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Yang paling best, Roselle ni mudah membiak dari biji benih dan emmerlukan cahaya serta saliran yang baik.

KHASIAT ROSELLE

Roselle mempunyai khasiat yang tinggi sebagai herba semulajadi yang membekalkan kandungan Vitamin C yang tinggi iaitu setiap 100gm Roselle mengandungi 280 mg Vitamin C!

Ia juga mengandungi pelbagai Vitamin yang merangkumi Vitamin B1, B2 dan Vitamin D.

Dalam Roselle itu sendiri mengandungi hampir 486gm kalsium dan juga Magnesium, Beta-Carotene, Omega 3 serta bersifat antioksidan dengan kandungan Vitamin C serta serat yang tinggi di dalamnya!

Ia juga mengandungi serat, zat besi serta asid amino yang diperlukan tubuh seperti anthocyanin, potassium, flavonoids dan gossypetin.

Khasiat Roselle:

Melambatkan proses penuaan ( kurangkan kedut,lembapkan kulit)
Sebagai diuretik, penurun suhu
Bersifat detoksifikasi
mencegah penyakit kronik : kardiovaskular, kanser, jantung
Meningkatkan stamina dan daya tahan tubuh : demam, selesema
Mengatasi tekanan darah tinggi
Bersifat antibiotik ( mengandungi Flavonoids)
Mengurangkan resdung dan asma
Mengurangkan tekanan dan insomnia
Melancarkan peredaran darah
Mencegah radang pada salur kencing dan pembentukan batu karang
Mengubati migrain dan pening kepala
Membantu proses pencernaan, meningkatkan kelenjar usus dan berfungsi sebagai tonik
Mengubati luka luar dan dalam
Menyihatkan mata
Membantu menurunkan berat badan
Menurunkan penggumpulan lemak di dalam hati
Menghilangkan sakit sakit badan
Membantu mencerdaskan otak pada kanak-kanak kerana mengandungi Omega 3 dan DHA!
Mengurangi risiko Osteoporosis

RESIPI ROSELLE

Nak jadikan Roselle sebagai air sirap?

Senang je. Korang patah-patahkan kelopak Roselle tu, basuh hingga bersih dan letak gula secukup rasa dan rebus dengan air di atas dapur. Biar menggelegak sehingga kelopak Roselle tu menjadi lembut.

Bila dah lembut, jangan pulak buang kelopak tu. Kelopak Roselle tu banyak khasiat tau.Kelopak tu boleh dimakan, atau dibuat jem dan kalau kreatif, korang boleh buat dessert atau kek!

Kredit: bysyiraishak.blogspot.com