Tanam Cili Mampu Perolehi Pendapatan Sehingga RM20 Ribu Semusim

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Inspirasi untuk belia

Kaya Sebab Tanam Cili

Pekerjaan sebagai ope­rator pengeluaran sebuah kilang suatu ketika dulu tidak banyak memberi peluang kepada­nya untuk hidup bermewah dalam memenuhi tuntutan hidup.
Bertahun-tahun me­ngerah keringat, namun gaji yang diterima sekitar RM650 sebulan sekadar cukup makan dan memenuhi keperluan asas.
Namun, semuanya berubah sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan mengusahakan varieti Cili Kulai yang mendapat permintaan baik di pasaran.

Siapa sangka, rezeki Arshad Mokri, 41, bertambah berkali ganda hasil kegigihannya mengusahakan ladang Cili Kulai hingga memperoleh pendapatan RM60,000 hingga RM70,000 bagi setiap kali tuaian hasil di ladang.
Bergelar usahawan, dia kini mampu tersenyum lebar dan melupakan kepayahan hidup lama kerana pendapatan diperoleh lebih daripada mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga.

Tidak lupa akan kisah silamnya, dia mengakui projek pertanian penanaman Cili Kulai mengubah hidupnya hingga mampu menggajikan pekerja untuk menguruskan ladang berkenaan.

“Pada mulanya saya menanam Cili Kulai kira-kira 30 batas. Projek berkenaan bermula pada tahun 2008 yang dilakukan secara kecil-kecilan.

“Saya kemudian me­nyertai Projek Ladang Kontrak bersama FAMA pada 2009 dan keluasan tanah ditingkatkan kepada 0.4 hek­tar,” katanya.

Usahanya meningkatkan keluasan tanaman berbaloi kerana pendapatan daripada penanaman Cili Kulai untuk fasa kedua menghasilkan pendapatan RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Ketika itu saya masih peringkat kenal dan belajar. Saya mempelajari mengenai Cili Kulai termasuk mendalami penyakit tanaman berkenaan.

“Pada fasa ketiga penanaman cili saya dipantau FAMA dan Jabatan Pertanian, selain mereka memberikan galakan termasuk peluang berkursus,” kata­nya.

Ilmu yang ditimba membuahkan hasil berganda kerana projek untuk fasa ketiga menghasilkan pendapatan RM25,000 se­ekar.

Artikel Berkaitan   Che Hassan Jana Pendapatan RM12K Sebulan Dengan Hanya Jual Telur Itik Dan Telur Masin

“Dari situ, Jabatan Pertanian sekali lagi memberikan kursus. S4ya diperkenalkan dengan teknik penanaman sayur yang lebih mesra alam menggunakan baja organik.

“Kualiti Cili Kulai dihasilkan semakin baik dengan penggunaan 100 peratus ‘Natural Farming’, manakala FAMA membeli hasil sebanyak 0.6 hektar,” katanya.

Katanya, Program Pe­ngukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontak terus ke Pasar Tani mempermudahkan pemasaran Cili Kulai.

“Saya beruntung kerana FAMA menawarkan harga yang baik kepada peserta Ladang Kontrak. Biarpun harganya turun, tapi FAMA membayar pada harga tinggi.

“Buktinya ketika musim banjir tahun lalu, saya menerima bayaran RM10 sekilogram bagi Cili Kulai yang dijual,” katanya.

Katanya, musim hujan menjadi ancaman kepada penanaman Cili Kulai kerana tanah menjadi basah dan daun gugur.

“Cili Kulai mengeluarkan hasil selepas 120 hari. Peringkat penanaman selama 40 hari, diikuti proses pendebungaan pada hari ke-60 dan hari ke-120 adalah peringkat memetik buah.

“Hasil buah berkualiti pada peringkat pertama hingga kedua dan akan menurun pada peringkat ketiga disebabkan pembajaan sudah berkurangan menyebab­kan kualiti cili menurun dan mengecil,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana mengambil peluang menyertai sektor pertanian bersama rakan sekampung, selain menerima peruntukan baja dan kursus dari Jabatan Pertanian.

“Ketika itu pilihan utama saya adalah penanaman cili dan saya puas hati dengan hasil dikeluarkan, meskipun berdepan cabaran besar sekiranya diusahakan secara sambil lewa.

“Apabila dapat hasil dan dijual kepada pembeli, itulah saat paling indah dan memberi kepuasan diri. Paling teruja apabila duit yang diterima tidak pernah terputus,” katanya.

Perancangan masa depan, dia berharap dapat mempertingkatkan pe­ngeluaran cili, selain mempraktikkan sistem pengairan titis di kawasan ladang.

“Saya berharap dapat menggunakan ‘sprinkler’ dan kaedah ‘drip tape’ iaitu pengairan titis. Sekurang-kurangnya ada kitaran pe­ngairan lebih sistematik, sekali gus menjimatkan kos,” katanya.

Artikel Berkaitan   Peria Katak Penawar Penyakit Kencing Manis, Amalkan Meminum Jus Peria Setiap Pagi