GARA-GARA berlaku ‘kesilapan komunikasi’ (miscommunication), perjalanan empat beranak untuk pulang ke kampung ‘tergendala’ buat seketika kerana si ibu tercicir di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Apa yang melucukan, ins1den itu hanya disedari selepas kenderaan yang dipandu si bapa sudah bergerak meninggalkan hentian berkenaan.
Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Roy Muhd berkata, ketika kejadian lucu yang berlaku pada 11 September itu, dia sekeluarga dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Perak kerana urusan keluarga.
“Kami berhenti di Hentian (R&R) Tangkak. Singgah sebab nak pergi ke tandas. Yang mula-mula keluar kereta adalah mak dan ayah. Saya dan adik duduk dalam kereta. Lepas mereka selesai dan masuk kereta, saya pula ambil giliran.
“Selepas masuk kereta, saya pun pakai ‘seat belt’. Saya duduk di depan, ayah memandu, mak dan adik duduk di belakang. Di situ berlaku ‘miscommunication’. Mak keluar kereta kali kedua tak beritahu ayah, saya pula lepas masuk kereta tak toleh dah belakang.
“Ayah pula pakai topi dan dia tak perasan bila masa mak keluar. Kami teruskan perjalanan sebab memang fikir emak dah duduk belakang. Rupa-rupanya dia ke tandas sekali lagi. Lebih kurang satu kilometer bergerak dari R&R, tiba-tiba handphone ayah dapat panggilan nombor yang tak dikenali.
“Rupa-rupanya mak yang call ayah. Mak guna telefon polis peronda lebuh raya sebab dia keluar kereta tak bawa beg tangan. Nasib baik mak ingat nombor ayah. Ayah angkat terus mak cakap ‘abang saya tertinggal ni!’. Tak ada bagi salam dah. Tersentak kami berdua dan terus toleh belakang. Memang tak ada!” cerita pemuda berusia 28 tahun ini mengenai ins1den yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu.
Roy mengakui dia begitu bimbang dengan keselamatan ibunya kerana memikirkan wanitu itu yang keseorangan menunggu di hentian berkenaan.
Menurut Roy, adiknya yang duduk bersama ibunya, Misom Abd Rahman, 61, di belakang juga tidak menyedari apa yang berlaku kerana tertidur sepanjang perjalanan.
Tambahnya, sejurus mendapat panggilan tersebut, dia mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang dan takut kerana memikirkan ibunya yang keseorangan menunggu di hentian berkenaan.
“Hati anak mana yang tak risau. Kalau boleh nak berhenti tepi dan berlari dapatkan mak ataupun melawan arus. Namun bila mengetahui mak ditemani polis peronda lebuh raya, hati saya dan ayah lega.
Ins1den lucu yang berlaku minggu lalu ketika dia bersama ibu, bapa dan adiknya dalam perjalanan pulang ke kampung di Perak.
“Sebab itulah saya sempat rekod video. Kalau mak seorang diri, mesti saya tak tenang macam dalam video tu. Saya rekod pun pada asalnya nak tunjuk pada adik-adik.
“Tapi saya fikir nak kongsi dekat TikTok sebab nak beri pengajaran juga kepada yang lain bahawa perkara ni boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tanpa dijangka.
“Kami terus ambil susur keluar (exit) Tangkak, lebih kurang 20 minit patah balik , kami selamat jemput mak semula. Dia ditemani dua polis peronda… siap dapat sepotong betik lagi,” cerita pemuda yang bekerja di syarikat petroleum di Pengerang.
Hati anak mana yang tak risau. Kalau boleh nak berhenti tepi dan berlari dapatkan mak ataupun melawan arus.
ROY MUHD
Cerita Roy lagi, ins1den tersebut adalah yang pertama berlaku kepada keluarganya.
“Kami memang biasa buat perjalanan jauh sebab mak dan ayah berasal dari pantai timur. Tapi inilah kali pertama berlaku. Mungkin ia sebagai peringatan kepada kami untuk lebih berhati-hati selepas ini.
“Mungkin lucu, namun tetap terselit pengajaran buat kami dan juga yang lain, khususnya apabila menggunakan lebuh raya. Pernah juga saya baca kisah tercicir ahli keluarga di hentian, kini terjadi pula kepada keluarga kami,” kata anak sulung daripada empat adik beradik ini lagi.
Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Roy berkata ada di antara netizen yang turut berkongsi pengalaman yang sama seperti keluarganya.
Ibu bersama adik bongsu.
“Ada juga yang beri nasihat minta lebih berhati-hati, saya terima dengan lapang dada. Tapi ada pula komen negatif terutama dekat Facebook yang terus ‘judge’ tanpa baca cerita sebenar.
“Apapun, saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada polis peronda sebab teman mak saya dan pastikan keselamatannya,” katanya lagi.
Komen Netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber : mStar