Wajib Buat Aruhan Jika Nak Nanas MD2 Berbuah Serentak!
Cuaca sangat baik pada petang Ahad lepas. Redup tetapi tiada tanda – tanda akan turunnya hujan. Terasa lembut tamparan angin sempoi – sempoi bahasa menyapa di kulit muka yang hitam manis ini.
Tepat jam 6.05 petang, kami pun mula buat aruhan pada pokok nanas MD2. Bahan kimia @ hormone yang digunakan adalah 30 ml ethrel + 180 gram urea. 2 – 2 bahan ini dimasukkan ke dalam 18 liter air. Kacau sehingga semuanya larut dan sebati, kemudian sembur pada tengah – tengah pucuk dengan menggunakan pam galas berkuasa bateri. Kadar semburan adalah lebih kurang 50 ml bagi setiap pokok.
Jika kita tak nak guna ethrel, kita boleh guna bahan kimia lain untuk buat aruhan. Antaranya,
1. Pil ANAA : Masukkan 1 biji pil ANAA tepat kedalam pucuk pokok dengan menggunakan corong paip PVC.
2. Asetilena (Kalsium Karbaid) : Timbang 200 gram Kalsium Karbaid dan larutkan dalam 18 liter air. Kemudiannya sembur atau tuang larutan tersebut ke dalam pucuk pokok pada kadar 50 ml sepokok.
3. Cecair NAA (Planofix) : Sukat 4.5 ml Planofik dan masukkan ke dalam 18 liter air. Lepas tu, sembur atau tuang larutan tadi ke dalam pucuk pokok pada kadar 50 ml sepokok.
Aruhan tu apa ye?
Aruhan adalah merangsang pembungaan secara serentak @ terancang untuk menghasilkan buah serentak dengan menggunakan bahan kimia (hormone). Orang kampung cakap, kita paksa pokok nanas berbunga dan berbuah dengan cara bubuh hormone.
.
Jika tak buat aruhan tak boleh ke?
Bila tak buat aruhan, kesannya adalah pokok nanas MD2 kita nanti berbunga dan berbuah tidak serentak. Bila berbunga tak serentak, hasil yang keluar tak dapat nak jangka dan ianya tidak konsisten. Ini menyebabkan kerja kerja pemasaran menjadi lebih sukar dan harga pun tak stabil. Kos pengeluaran pun boleh meningkat
.
Bila buat aruhan, banyak kelebihan dan manfaat yang kita akan dapat seperti:
1. Dapat merangsang pengeluaran bunga secara seragam dan serentak.
2. Pengeluaran buah dan pemasaran dapat dirancang dengan lebih teratur.
3. Penuaian buah boleh dibuat secara serentak.
4. Menjamin pengeluaran buah yang berkualiti.
5. Dapat menjamin pengeluaran buah secara konsisten.
6. Dapat mengatur pengeluaran buah mengikut kehendak pasaran dan dapat harga pasaran yang lebih baik.
7. Penggunaan tenaga kerja yang lebih cekap di ladang dan dapat menjimatkan kos pengeluaran.
.
Bila waktu yang sesuai untuk buat aruhan ni?
Aruhan boleh dibuat bila pokok nanas kita telah mencapai umur 8 – 10 bulan lepas tanam. Yang penting pokok sihat dan mempunyai 35 – 40 helai daun segar. Bila hormone pada pokok yang daunnya kurang 35 helai, pokok kita tetap akan berbunga dan berbuah tetapi buahnya kecil dan tidak menepati kehendak pasaran. Rugilah kita nanti!
Seboleh – bolehnya kita buat aruhan ni sebulan selepas pembajaan terakhir. Waktu yang sesuai untuk buat pengaruhan pula adalah pada awal pagi dan lewat petang. Malam adalah waktu yang paling berkesan untuk pengaruhan.
Semasa nak buat aruhan tu, pastikan cuaca dalam keadaan baik. Kita tidak mahu bila selepas aruhan dibuat, pokok kita ditimpa hujan. Ini boleh menyebabkan peratus kejayaan pengaruhan menjadi rendah atau gagal terus.
.
Dulu saya pun tidak tahu yang kita boleh rancang berat buah nanas MD2?
Caranya senang je.
Ianya dengan berpandukan kepada berat pokok semasa nak buat aruhan. Sekiranya anggaran berat pokok nanas kita 3 kg, insyaAllah buah yang akan dapat nanti 3 kg juga. Bezanya pun tak banyak sangat, sekitar 10% sahaja. Jika pasaran nak buah yang berat 2 kg, kita pun buat lah aruhan pada pokok yang anggaran beratnya 2 kg juga. Mudah kan.
.
Habis tu bila boleh tuai?
Aruhan dikira berjaya bila pucuk pokok nanas telah mengeluarkan permulaan bunga berwarna merah selepas 35 – 50 hari semburan hormone dibuat. Buahnya pula kita boleh petik selepas 135 – 150 hari dibuat aruhan.
Kesimpulannya, nanas MD2 mengambil masa lebih kurang 12 bulan setengah untuk satu musim penanaman bermula dari tanam hinggalah boleh dituai.
Semoga bermanfaat.
Sila share info ini kepada rakan yang lain sebab mungkin ianya sangat berguna buat mereka.
Boleh follow Azuan Abdullah & Set See First ye untuk dapatkan lebih banyak ilmu dalam bidang pertanian. InsyaAllah.
Kredit: FB Azuan Abdullah