Wanita Kampung Berubah Apabila Tiba Di Bandar, Akhirnya Terpaksa Menanggung Ketumbuhan Disebabkan Kafarah Dosa

MATLAMAT asal Suraya (bukan nama sebenar), 26, berhijrah ke Kuala Lumpur adalah untuk membantu mengubah nasib keluarganya yang dihimpit kemiskinan.


Bagaimanapun, perwatakan gadis desa dan gebu yang dahulunya naif serta polos itu telah berubah 360 darjah selepas dia mendapat pekerjaan di ibu kota.

Pada mulanya, Suraya berhijrah ke Kuala Lumpur selepas diajak oleh sepupunya untuk tinggal bersama dan mencari pekerjaan. Ajakan itu dilakukan sebaik sahaja gadis tersebut menamatkan persekolahan di tingkatan lima.

Walaupun Suraya dihalang untuk ke Kuala Lumpur oleh kedua-dua orang tuanya, namun disebabkan dia akan ditemani saudaranya sendiri, maka pemergiannya tidak terlalu dibimbangkan.

Di kota metropolitan itu, Suraya bekerja sebagai penyambut tetamu di salah sebuah hotel terkemuka. Namun, sebelum diterima bekerja di situ, dia telah diletakkan syarat supaya membuka tudung kepala.

“Pada awalnya, saya keberatan untuk berbuat demikian, namun kerana ditawarkan dengan gaji yang dirasakan lumayan, saya akhirnya akur,” katanya.

Barangan mewah

Berbekalkan wajah yang cantik, Suraya sememangnya mendapat layanan istimewa daripada pengurus tempatnya bekerja yang dikenali sebagai Mark (bukan nama sebenar).

Daripada gadis kampung, dia menerima pelbagai hadiah mewah daripada Mark sebagai tanda menghargai komitmennya sebagai pekerja.

Boleh dikatakan setiap bulan Suraya akan menerima barangan mewah seperti jam tangan, beg tangan dan pakaian. Segala kemewahan yang ditabur itu sekelip mata membuatkannya leka dan lupa diri.

Walaupun tinggal bersama saudaranya, tingkah laku Suraya tidak dapat dikawal oleh sepupunya itu. Alasannya, dia berpendapat dirinya sudah cukup dewasa dan tidak perlu dikawal lagi.

Ternyata, daripada gadis bersopan santun dan menjaga batas pergaulan ketika di kampung, Suraya kini berubah. Penampilannya juga semakin seksi dan pandai bergaya.

Rokok dan arak telah menjadi perkara biasa buat Suraya setiap hari terutama ketika keluar untuk berhibur.

“Semuanya sebab saya ditaburi dengan kemewahan dan menjadi kekasih gelap Mark walaupun berlainan agama.

“Saya lupa tentang hukum-hakam dan terus hanyut dengan kemewahan duniawi,” kata Suraya.

Walaupun telah berubah daripada segi penampilan dan kelakuan, dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya untuk memberi wang kepada keluarganya di kampung.

Walaupun sedar pendapatan yang diperoleh adalah daripada sumber haram namun sekurang-kurangnya Suraya tidak melepaskan tanggungjawabnya sebagai anak sulung.

Setiap kali ketika pulang ke kampung, Suraya akan menukar semula penampilannya kepada yang asal, termasuk rambutnya yang diwarnakan.

Jatuh sakit

Kira-kira setahun lalu, Suraya akhirnya disahkan menghidap ketumbuhan di dalam otak. Dunianya yang dahulu meriah dan penuh dengan kegembiraan tiba-tiba bertukar menjadi gelap-gelita.

“Dalam sekelip mata semuanya diragut,” katanya.

Sebelum disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak, Suraya mengakui kerap berasa sakit kepala sehingga membuatkan dia pengsan beberapa kali ketika berada di tempat kerja.

Susuk tubuhnya yang dahulu gebu, perlahan-lahan bertukar menjadi semakin kurus. Walaupun telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut menggunakan wang simpanannya sendiri, keadaan gadis itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang baik.

Akibatnya, Suraya hanya terlantar di katil hospital selepas mengambil keputusan berhenti kerja. Kudratnya telah tidak berdaya untuk bekerja dan mengharapkan belas ihsan kedua-dua orang tuanya.

“Mungkin ini balasan daripada Allah atas kealpaan yang telah saya lakukan,” ujarnya.

Pada masa sama, Suraya masih lagi bersyukur kerana diberi kesempatan untuk dia berubah dan kembali ke jalan yang lurus bagi meminta keampunan daripada Allah sebelum terlambat.

Akibat kealpaan dilimpahi kemewahan, Suraya yang dahulunya seorang gadis naif berubah menjadi lupa daratan sehingga tersasar daripada landasan agama.