Genap hari ke-100 pemergian isteri, pelawak dan usahawan popular Shuib Sepahtu mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarhamah Siti Sarah di sebuah dewan acara, petang tadi.
Dalam masa sama, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad turut melangsungkan majlis tahnik dan cukur jambul anak bongsunya Ayash Affan yang kini berusia tiga bulan.
Menerusi perkongsian di laman Instagram milik arwah, dapat dilihat dewan tersebut dipenuhi dengan dekorasi bunga melur dan belon selain mini pelamin untuk sesi bergambar.
Selain itu, tidak dilupakan foto Shuib bersama tiga cahaya matanya yang lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6 yang mengenakan pakaian serba putih.
Difahamkan, meskipun merancang bagi mengadakan majlis itu pada saat-saat akhir, namun dia bersyukur apabila semua urusan dipermudahkan oleh setiap pihak.
Terdahulu, Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan iaitu tiga hari sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir setelah bertarung nyawa akibat Covid-19.
Sumber: Instagram Siti Sarah