Selepas lebih setahun menjalinkan hubungan percintaan, pengacara wanita, Uyaina Arshad akhirnya sah bergelar isteri kepada penyanyi dan juga pelakon kacak, Raja Syahiran.
Pilih tarikh cantik
Memilih tarikh cantik iaitu 21.12.21, pasangan tersebut telah selamat diijab qabul pada pagi tadi dalam suasana yang cukup tenang.
Menerusi perkongsian di Instagram Astro Gempak, Uyaina dan Raja Syahiran dilihat segak mengenakan busana berwarna putih dan masing-masing sangat padan seperti pinang dibelah dua.
Dalam laporan dari Harian Metro pula, pasangan ini telah dinikahkan oleh abang kandung Uyaina iaitu Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua saksi di Colony Star Boulevard.
Tiada pertukaran hantaran
Syahiran atau nama penuhnya Raja Azhanrianshah menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.
Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.
Untuk makluman, pasangan ini mulai berkenalan sekitar awal tahun 2019 dan pada Julai tahun yang sama, Raja Syahiran memberanikan diri membawa keluarga ke rumah Uyaina untuk merisik pengacara tersebut bagi dijadikan suri hatinya.
Sumber: Instagram Astro Gempak, Harian Metro (Najiy jefri), kredit foto cstproduction & Astro gempak
Sumber : ohmymedia