PETALING JAYA, 21 Feb — Peka dengan keadaan pesakit luar yang kadang kala bosan menunggu giliran mendapatkan rawatan, kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) tampil dengan pendekatan unik.
Para pesakit kini berpeluang mengadakan aktiviti senam ringan yang menghiburkan dengan dibantu para petugas fisioterapi berpengalaman.
Aktiviti itu sememangnya membantu para pesakit bukan sahaja untuk menghilang bosan malah turut menyihatkan tubuh badan.
Jumlah pesakit luar di IJN boleh mencecah sehingga 750 orang setiap hari.
Sementara itu, tular di laman sosial Facebook beberapa gambar menunjukkan para petugas IJN mengadakan aktiviti bersenam bersama pesakit.
Rata-rata memuji inisiatif terbaharu IJN yang pada masa sama membantu pesakit kembali sihat seperti sedia kala.
“Terbaik, IJN. Teruskan (membantu) meredakan kesakitan fizikal menunggu lama, menurunkan tekanan dan memastikan orang ramai terhibur,” kata Rofizah Jusoh.
“Harap hospital lain akan buat perkara yang sama!” kata Zannubah Abdul Jamil pula.