Harga Lada Putih Mencecah RM40 Sekilogram, Minit Badam Mampu Raih RM4000 Sebulan

BUNYI salakan anjing sesekali kedengaran di sekitar kediaman Kampung Jogoi Duyuh, Bau, Kuching, Sarawak tidak diendahkan lelaki itu. Dia tekun memotong gugusan buah lada yang berjuntaian di hadapannya sebelum memasukkan ke dalam bakul mengkuang yang digalas pada bahunya.


Proses itu dilakukan secara berulang-ulang. Selepas berpuas hati dengan kutipan buah lada atau beri dari pokok itu dia beralih pula ke pokok lain yang disusun mengikut barisan di kawasan kebun seluas lebih satu hektar yang terletak berhampiran rumahnya itu.

“Cukuplah untuk hari ini, lagi pun, cuaca sudah semakin panas hari ini,” kata Minit Badam, 56, sendirian sambil melihat bakul mengkuang yang separa penuh dengan beri-beri segar berwarna hijau itu.

Sambil melangkah, dia turut diekori beberapa ekor anjing peliharaannya yang setia menemaninya di kebun itu sejak dari pagi lagi.

“Anjing-anjing ini dipelihara untuk mengawal kebun, takut ada ular atau babi hutan berkeliaran, maklumlah kawasan sekitarnya hutan tebal,” kata Minit yang turut dibantu isterinya, Anang Abot, 57.

Minit memberitahu, sebelum ini dia bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan tidak menentu. Namun kehidupannya berubah selepas dia menghadiri kursus penanaman lada yang dianjurkan oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) lapan tahun lalu. “Sepanjang kursus itu, saya diajar cara- cara membuat tapak semaian, teknik penanaman, tuaian dan penggunaan racun perosak sebelum nekad menjadi penanam lada sepenuh masa. Bermula dengan 200 pokok, kini jumlahnya bertambah kepada 1,500 pokok pada masa ini,” ceritanya.

Seperti penanam lada lain di negara ini, dia menghasilkan dua jenis lada iaitu lada hitam dan lada putih melibatkan proses yang berbeza.

Katanya, penghasilan lada hitam lebih mudah kerana lada yang dipetik hanya perlu dijemur di bawah cahaya matahari beberapa hari sehingga warnanya bertukar kehitaman.

Sementara itu, lada putih pula dihasilkan dengan merendamkan buah lada di dalam air (minimum 10 hari) bagi mengeluarkan lapisan kulitnya sebelum bijinya dikeringkan.

“Biarpun prosesnya agak sukar, harga lada putih lebih tinggi iaitu sekitar RM40 sekilogram manakala lada hitam pula sekitar RM14.50 sekilogram, namun harganya sentiasa berubah mengikut pasaran.

“Setiap musim, saya mampu memperoleh sekitar satu tan lada hitam dan lada putih dengan anggaran pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya yang mengakui kehidupan keluarganya telah banyak berubah berbanding sebelum ini.

Lada atau nama saintifiknya Piper Nigrum berasal daripada keluarga piperaceae. Ia dikatakan berasal dari India. Dikenali sebagai Raja Rempah, lada merupakan antara barangan dagangan mewah yang digunakan oleh raja dan bangsawan satu ketika dahulu.

Ketika ini, Sarawak merupakan antara pengeluar lada utama di Malaysia iaitu sebanyak 98 peratus diikuti Sabah, Johor, Perak, Terengganu dan Kedah.

Variasi pokok
Sementara itu, Pengarah Bahagian Tanaman, Pengembangan dan Penggiat Industri Lembaga Lada Kuching, Unjah Awit berkata, lada merupakan salah satu tanaman kontan yang menjana pendapatan utama kepada penduduk di negeri itu khususnya di kawasan pedalaman.

“Biarpun begitu, kebanyakan tanaman ini masih diusahakan secara kecil-kecilan. Antara daerah utama penanaman lada di negeri ini ialah di sekitar Sarikei, Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong,” katanya.

Unjah memberitahu, terdapat pelbagai variasi pokok lada yang bersesuaian dengan iklim di negara ini seperti Kuching, Semenggok Aman dan Semenggok Emas.

Lazimnya, lada dibiak daripada keratan batang dan ditanam pada bulan Oktober hingga Disember sebelum dituai sekitar April hingga Ogos. Disebabkan ia merupakan tumbuhan memanjat, maka ia perlu tiang sokongan untuk terus membesar.

“Namun, ia hanya boleh dituai selepas pokok lada mata berumur sekitar tiga tahun. Secara purata, setiap pokok menghasilkan sebanyak 3.5 kilogram buah setahun dan mampu berbuah sehingga maksimum 12 tahun,” katanya.

Seperti tanaman lain, pokok lada juga berdepan risiko jangkitan penyakit yang menyerang akar, daun atau buahnya.

Antara penyakit yang lazim dihadapi ialah penyakit reput akar, penyakit buah hitam, penyakit cendawan angin, penyakit hawar lembut dan penyakit akar putih.

Pada masa sama, ia juga terdedah kepada serangan serangga perosak seperti kumbang belalai dan kepinding lada yang merosakkan pokok dan bunga manakala cacing nematod pula menyerang bahagian akar serta penyakit daun kerinting akibat serangan virus.

Sensitif
“Pokok lada sangat sensitif dan memerlukan iklim sesuai dan sistem pengairan yang baik untuk ia terus subur dan mampu menghasilkan buah yang berkualiti tinggi. Sebab itu, penanam lada perlu menghadiri pelbagai kursus anjuran MPB untuk membolehkan mereka mendapat maklumat terkini mengenai tanaman itu,” katanya lagi.

Ketika ini, Malaysia merupakan pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, India, Indonesia dan Brazil. Lada Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan turut diperakui oleh Komuniti Lada Antarabangsa (IPC).

Ketua Pengarah MPB, Dr. Harry Entebang berkata, daripada kira-kira 30,000 tan lada yang dihasilkan di negara setiap tahun sebahagian besarnya dieksport ke luar negara khususnya di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Korea Selatan.

Disebabkan itu, lada yang dihasilkan perlu melalui penilaian dan piawaian ketat menerusi amalan pengurusan tanaman yang baik seperti yang ditetapkan agensi berkenaan.

“Tugas MPB bukan sekadar menyelia industri lada tempatan malah kami juga berperanan memberi khidmat nasihat, bantuan teknikal, penyelidikan di samping mengukuhkan pengeluaran dan perniagaan.

“Di samping itu, kita juga memberi tumpuan terhadap pelbagai produk hiliran terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana bagi memberi nilai tambah terhadap tanaman lada,” katanya.

Menurut Harry, antara sasaran utama MPB ialah meningkatkan keluasan ladang lada di Malaysia daripada 17,000 hektar ketika ini kepada 20,000 hektar menjelang tahun 2020.

Justeru, satu kerjasama strategik telah dilaksanakan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Projek Penyelidikan Lada Sarawak dan Pembangunan Ladang Penyelidikan dan Komuniti atau lebih dikenali sebagai Sarawak Pepper Farm @UPM Bintulu baru-baru ini. Menerusi kerjasama itu, UPM akan membangunkan lebih 10 hektar kawasan penanaman lada di kampusnya di Bintulu yang memberi fokus terhadap pengkomersialan, penyelidikan dan komuniti.

“Dengan keupayaan dana dan kemahiran yang dimiliki UPM, kita yakin ia dapat menarik lebih ramai penanam lada khususnya dalam kalangan generasi muda untuk menyertai industri ini pada masa hadapan.

“Pada masa sama, ia juga membolehkan kajian dan penyelidikan tanaman lada dalam pelbagai sektor lain seperti kecantikan atau farmaseutikal berbanding sektor makanan ketika ini,” katanya.

Berbanding tanaman kontan lain seperti kelapa sawit, getah, padi, kelapa atau kenaf, industri lada mempunyai potensi besar di negara ini dan permintaannya sentiasa tidak mencukupi di pasaran antarabangsa.

“Selama ini, penanamannya dilakukan secara kecil-kecilan namun kita yakin menerusi usaha yang dijalankan MPB dan UPM kelak ia dapat dikomersialkan menerusi penglibatan sektor swasta,” katanya.

Sumber: Kosmo Online