Kaya Dengan Vitamin C, Buah Naga Mampu Jana Pendapatan Lumayan – Panduan Tanam Buah Naga

PANDUAN TANAM BUAH NAGA

Buah naga adalah tanaman yang berasal dari Amerika Selatan dan termasuk di dalam keluarga kaktus. Terdapat tiga jenis iaitu buah naga isi putih (Hylocereus undatus), buah n4ga isi merah (Hylocereus polyrhizus) dan buah naga kuning (Selenicereus megalanthus).

Buah naga adalah sumber makanan berkhasiat yang semakin popular di negara Asia termasuk Malaysia serta mempunyai manfaat bagi kesihatan manusia di antaranya sebagai pengimbang kadar gula darah, pelindung kesihatan mulut, pencegah kanser usus, mengurangi kolestrol, pencegah pendarahan dan mengubati keputihan. Buah naga juga dikenali dengan nama pitaya, ada kalanya mempunyai rasa manis atau masam mengikut jenisnya. Walaupun ia buah eksotik, buah naga selamat dimakan oleh ibu hamil dan ibu menyusukan bayi di samping mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Mari kita lihat panduan asas untuk menanam buah naga ini:

Keperluan Asas Tanaman

  • Iklim: Suhu sekitar 20 hingga 30 darjah celcius dengan sekurang-kurangnya 7 jam sinaran matahari
  • Taburan hujan: antara 500 – 1,500 mm
  • pH : 6-7
  • Jenis tanah : tanah berpasir dan tanah loam berpasir terutama yang kaya dengan bahan organik

Penyediaan Kawasan

  • Lubang perlu ditabur kapur + baja organik + baja CIRP (Christmas Island Rock Phosphate) dengan nisbah 2 tan kapur: 1.25 kg/h: 50 gram/pokok CIRP pada setiap lubang sebelum proses penanaman.
  • Persekitaran yang tidak mempunyai lindungan.
  • Saiz lubang ialah 45 cm x 45 cm x 60 cm (kedalaman).
  • Tiang sokongan berukuran 1.8 m x 12 cm x 12 cm ditanam sedalam 60 cm.
  • Jarak tanaman tiang sokongan ialah 3.3 m x 3.3 m dan para perlu ditempatkan pada setiap tiang sokongan.
  • Pastikan tanah digembur sekeliling tiang seperti busut kecil sesudah tiang ditanam.

Penyediaan Anak Benih

Semaian biji

  • Ambil biji buah naga daripada buahnya.
  • Keringkan di atas bekas bersesuaian.
  • Semai biji benih di atas kertas/tisu lembab dan tunggu sehingga bercambah.
  • Sediakan campuran tanah lembut dengan baja kompos 1:1 dan taburkan benih yang telah bercambah pada media tanaman.
  • Tutup dengan tanah halus dan perlu disiram secara berkala. Tunggu hingga cukup besar untuk dialihkan di polibag.

Buah naga dari biji benih. Pic dari gagaspertanian.com

Keratan batang

  • Keratan batang perlu dikeringkan di tempat yang kering udara selama dua minggu.
  • Keratan berukuran 30 cm–60 cm.
  • Potong secara melintang (clean cut) dan rata bersih (tanpa luka) dan potongan mesti licin dengan menggunakan parang yang tajam.
  • Sekiranya ladang mempunyai dua varieti, rawatan hendaklah dilakukan secara berasingan bagi mengelak berlakunya percampuran. Pelabelan perlu dibuat bagi menunjukkan bahagian atas (pucuk) atau bawah (akar).
  • Selepas masa pengeringan keratan akan ditanam ke dalam polibeg sebelum ditanam ke ladang apabila tunas dan akar telah keluar. Keratan boleh juga boleh ditanam secara terus ke ladang.

Keratan perlu dicelup dengan racun kulat 5-10 min

Penanaman di Ladang

  • Jarak tanaman adalah 3 m X 2.5 m bagi setiap perdu.
  • 1 tiang konkrit akan ditanam dengan 3-4 batang anak pokok dan dibiarkan menjalar mengikut tiang.
  • 1 hektar = 1250 tiang konkrit sebagai sokongan.
  • Pangkal keratan yang telah berakar ditanam sedalam 5 cm dalam tanah.
  • Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia hendaklah dijarangkan supaya ia tidak bertindih-tindih. Sulur air (stem) yang memanjang hendaklah dijaga supaya tidak mudah patah.
Artikel Berkaitan   Minum Halia Dapat Legakan Senggugut – 5 Kelebihan Minum Air Halia

Pokok ditanam hendaklah diikat supaya tidak mudah patah

Pembajaan

Pemangkasan

  • Cantasan dibuat dengan menggunakan gunting dan biarkan empat atau lima cabang pada setiap dahan.
  • Sulur air (stem) yang keluar hendaklah dibuang supaya pokok utama dapat membesar dengan baik.
  • Dahan-dahan yang sihat, subur dan kedudukan seimbang di atas para sahaja dipilih. Dahan yang menegak keluar daripada para hendaklah ditinggalkan.
  • Dahan yang telah cukup panjang dan dahan yang telah menghasilkan buah dan tidak produktif lagi perlu dipangkas supaya tidak bersaing dengan dahan muda dalam mendapatkan makanan.
  • Kanopi pada pokok jangan terlalu rimbun dan hendaklah dilakukan pangkasan mengikut bentuk tengah terbuka (open centre).
  • Kerja pencantasan perlu dibuat secara berkala untuk menjamin pengeluaran hasil tidak terjejas.

Dedahkan dan galakkan bahagian atas dahan kepada sinaran matahari. Pic dari budidayabagus

Pengairan

  • Pokok naga adalah jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air. Walaubagaimanapun pokok naga amat perlu penyiraman air bagi mempercepat pemanjangan ruas dan pokok meninggi terutama pada musim panas.

Pengurusan Perosak dan Penyakit

Bakteria Xanthomonas campestris 

  • Simptom: Penyakit batang reput (stem rot).  Simptom penyakit ini kelihatan pada batang dan dahan yang mempunyai lesion berpusar yang mengeluarkan cecair busuk dan berlendir.
  • Kawalan : Rawatan pemberian racun berbentuk broad spectrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethoate adalah sesuai. Sekiranya jangkitan disebabkan bakteria, racun Kocide boleh digunakan.

Phyllosticta sp.

  • Simptom: bintik coklat pada batang
  • Kawalan : Rawatan pemberian racun berbentuk broad spectrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethoate adalah sesuai. Sekiranya jangkitan disebabkan bakteria, racun Kocide boleh digunakan.

Collectrotrichum sp., Alternaria dan Lasiodiplodia sp.

  • Simptom: tanda bulatan kuning (lesion) berpusar pada kulit.
  • Kawalan : Rawatan pemberian racun berbentuk broad spectrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethoate adalah sesuai. Sekiranya jangkitan disebabkan bakteria, racun Kocide boleh digunakan.

Kulat Phomopsis

  • Simptom: menyebabkan bintik berwarna coklat pada buah.
  • Kawalan : Rawatan pemberian racun berbentuk broad spectrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethoate adalah sesuai. Sekiranya jangkitan disebabkan bakteria, racun Kocide boleh digunakan.

Serangga perosak, burung, tupai, tikus dan kelawar.

  • Kawalan: racun serangga seperti chloropyrifos dan cypermethrin  dan perangkap serangga (sticky insect traps) boleh dipasang.
  • Buah hendaklah dibungkus untuk mengelak serangan perosak.

Antara penyakit buah naga

Buah naga dibungkus untuk mengelakkan perosak

Pungutan Hasil

  • Berbuah apabila berumur 7 – 12 bulan selepas ditanam.
  • Buah naga adalah sejenis buah yang bukan klimatrik iaitu tidak akan bertambah manis selepas dipetik. Oleh itu buah hanya boleh dipetik apabila mencapai kematangan dan masa yang sesuai.
  • Jangka masa dari pengeluaran kudup bunga sehingga buah boleh dipetik adalah di antara 50 – 53 hari.
  • Buah yang masak akan menukar warna kulitnya daripada hijau kepada merah dan mempunyai berat antara 200-700 gram.
  • Berat buah juga dipengaruhi oleh varieti tanaman. Pengeluaran buah juga tidak bermusim.
  • Purata hasil seekar (0.4 ha) pada tahun pertama ialah 500 – 800 biji. Keuntungan bergantung kepada harga pasaran iaitu RM1 – RM2 setiap kg bagi varieti putih dan varieti merah adalah RM5 – RM7 setiap kg. Hasil akan meningkat sekurangkurangnya dua kali ganda pada tahun berikutnya dan bertambah pada tahun-tahun akan datang.

Buah naga dijadikan kosmetik

sumber: http://ebuletin.mardi.gov.my/http://reg.upm.edu.my/http://www.hmetro.com.my/

Artikel Berkaitan   Jana Pendapatan Lumayan Dengan Kaedah Fertigasi. Kelebihan Tanaman Fertigasi Berbanding Tanaman Biasa

Buah naga sumber pendapatan

Mempunyai bentuk yang ganjil dan kulit luar berwarna merah serta mempunyai sayap seperti seekor naga menjadikan buah naga berlainan dengan buah-buah tempatan lain yang ditanam di negara ini.

Walaupun mempunyai bentuk yang unik, buah naga yang berasal daripada keluarga cactacea yang tergolong dalam spesies kaktus semakin mendapat tempat di kalangan petani moden negara ini.

Buah naga mempunyai dua jenis buah iaitu Hylocereus undatus (isi putih) dan Hylocereus polyrhizus (isi merah) yang kaya dengan pelbagai khasiat.

Isinya dipenuhi dengan taburan biji-biji berwarna hitam yang boleh dimakan serta tekstur isinya adalah seperti isi tembikai, manakala rasanya pula adalah seperti buah kiwi.

Di negara ini, kebanyakan pengusaha buah naga terdiri daripada kaum Cina dan kurang mendapat perhatian daripada kaum bumiputera walaupun buah ini mempunyai prospek pasaran yang meluas.

Menyedari potensi buah naga di pasaran negara ini mendorong pasangan pengusaha, Harun Jasin, 59, bersama isteri, Rohaya Othman, 45, memberanikan diri untuk mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 bagi memulakan projek tanaman buah naga di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, di sini.

“Kami mencari sendiri anak pokok buah naga daripada pengusahanya di Johor dan belajar sendiri teknik-teknik menanam pokok naga tanpa mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kami menyedari pokok ini seperti pokok seribu satu guna kerana bermula daripada buah, bunga sehingga ke batangnya mempunyai khasiatnya tersendiri dari segi perubatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kini, kata Harun, pokok buah naga yang ditanam di sekeliling kawasan rumah mereka mencecah tiga ribu pokok dan telah mengeluarkan hasil yang lumayan.

Harun memberitahu, penjagaan pokok buah naga tidak sesukar mana kerana ia hanya memerlukan pengawasan yang minimum dan jika dijaga dengan rapi usia pokok itu boleh mencecah sehingga 100 tahun.

“Pokok buah naga yang mula ditanam akan mengeluarkan hasil setelah lapan bulan dan selepas itu pokok akan terus berbuah tanpa henti.

“Pokok ini juga berbuah tidak kira masa kerana ia merupakan pokok yang berbuah tidak mengikut musim,” ujarnya.

Menurut Harun, mengikut kajian buah naga kaya dengan pelbagai khasiat meliputi potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain yang diimport.

“Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.

“Ia juga berkesan untuk mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan,” katanya.

Harun memberitahu, bunga pokok buah naga juga berkhasiat dan boleh dicampurkan dengan teh serta berkesan untuk menyejukkan badan.

“Setiap satu pokok buah naga amat berharga kepada saya dan isteri yang bersusah payah bagi memastikan impian kami untuk memiliki ladang buah naga tercapai.

“Kini kami boleh berbangga apabila penat lelah kami berkebun tanaman buah naga telah membuahkan hasil yang lumayan,” katanya.

Menurut Harun, mereka kini melebarkan pula sayap perniagaan dengan membuka sebuah restoran makanan berasaskan buah naga di kawasan kebun tanaman itu.

Tambahnya, restorannya itu turut menyediakan jus buah naga merah yang enak dan mendapat sambutan ramai pengunjung.

Sumber: Utusan Online