Dusun durian jadi produk agro pelancongan tahun depan
PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian, dalam usaha meneruskan kajian bagi kelestarian pengeluaran durian yang lebih berkualiti, membangunkan dusun dalam bandar bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar terbesar raja buah ini.
Terletak di Serdang, Selangor, ladang komersial yang lebih dikenali sebagai dusun dalam bandar, adalah sebuah kawasan penanaman durian yang berperanan penting dalam usaha penyelidikan penghasilan buah durian baka terbaik.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pertanian, Wan Mohd Zulkarnain Baharudin, berkata dusun seluas 60 hektar itu ditanam dengan 40 jenis pokok durian daripada pelbagai klon dalam kawasan seluas 16 hektar.
Katanya, matlamat utama pembukaan dusun itu adalah sebagai tempat penyelidikan dan pembelajaran di samping menawarkan kegiatan rekreasi serta agro pelancongan kepada orang ramai.
“Di sini, penyelidik memikirkan untuk mengaplikasi kaedah kacukan dan teknik moden bagi menghasilkan klon yang mempunyai ciri komersial,” katanya kepada BH ketika lawatan ke dusun dalam bandar, baru-baru ini.
Pelbagai klon seperti MDUR 88 (D190), Kop Kecil (D99), MDUR 78 (D188), Mas Muar (D168), Udang Merah (D175), Kop Besar (D126), Musang King, D24, D2, Bangkok A, Hybrid D24 X D2, Baserah, Durian Kuning, Dato Nina dan Bukit Merah tumbuh subur di dusun berkenaan.
Selain itu, beberapa jenis pokok buah-buahan lain turut ditanam di sini seperti rambutan, mangga, duku, dokong dan manggis.
Zulkarnain berkata, orang ramai sebenarnya masih keliru dan tidak dapat mengenali jenis durian kecuali beberapa yang sudah terkenal seperti Musang King dan Udang Merah, namun masih ramai yang sukar mengenal pasti buah berkenaan dengan tepat.
Beliau menjelaskan, durian jenis Musang King umpamanya ada ciri fizikal tersendiri seperti mempunyai duri yang sekata dan berbentuk piramid serta bahagian bawahnya berbentuk seperti tapak sulaiman, manakala durian D24 pula lebih berwarna hijau dan mempunyai duri kecil di celah setiap empat duri besar.
Katanya, Musang King sudah wujud lebih awal berbanding varieti durian baharu sekarang dan didaftarkan di Jabatan Pertanian sebagai D197 pada 1993.
Zulkarnain berkata, klon durian kacukan atau hibrid seperti MDUR 78, MDUR 79 dan klon MDUR 88 sudah dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) seawal 1980-an.
“Bermula tahun depan, Jabatan Pertanian bercadang menjadikan kawasan dusun ini sebagai produk agro pelancongan yang mana pengunjung boleh mengadakan pelbagai kegiatan di sini seperti majlis perkahwinan, perkhemahan pelajar dan program membina semangat berpasukan.
“Selain dapat mendedahkan kepada umum mengenai kewujudan dusun ini, ia juga memberi peluang kepada orang ramai serta menjadi pengalaman baharu kepada pengunjung untuk menikmati suasana ketika musim buah.
“Pengunjung akan dikenakan sedikit bayaran bagi melalui pengalaman memetik buah sendiri, namun ia hanya boleh dimakan di dusun dan tidak dibenarkan dibawa pulang,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini dusun berkenaan hanya dibuka beberapa kali dalam setahun kepada golongan tertentu terdiri daripada pelawat luar negara, media, peserta kursus serta penyelidik dari dalam dan luar negara.
Katanya, bukan hanya buah-buahan sebaliknya semua varieti lain yang disyorkan dan didaftar serta direkodkan dalam Buku Senarai Varieti Tanaman yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian ditanam di dusun berkenaan.
Ia merangkumi varieti 32 jenis buah-buahan dan tiga jenis tanaman lain seperti cili, padi dan rosel, dengan tujuan mengenal pasti varieti yang mempunyai mutu serta berpotensi ditanam secara komersial.
INFO
- Jabatan Pertanian diiktiraf sebagai agensi pelaksanaan pendaftaran dan pengesyoran varieti tumbuhan.
- Ahli Jawatankuasa Teknikal Pendaftaran Varieti Kebangsaan terdiri daripada bahagian teknikal di Jabatan Pertanian serta pakar tanaman dari jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti MARDI.
- Sebanyak 47 varieti buah-buahan daripada 12 jenis yang disyorkan sebagai tanaman komersial pasaran, antaranya belimbing, cempedak, ciku, durian, jambu batu, limau bali, nangka, mangga, rambutan, nanas, pisang dan kelapa – Berita Harian